AKUARIUM dan hiasan ringkas lain menyerikan ruang makan dan ruang dapur kering.
AKUARIUM dan hiasan ringkas lain menyerikan ruang makan dan ruang dapur kering.
KOLEKSI gambar menghiasi dekoratif dinding di bilik tidur utama.
KOLEKSI gambar menghiasi dekoratif dinding di bilik tidur utama.
AKSESORI unik memukau mata.
AKSESORI unik memukau mata.
REKAAN lampu hiasan yang menarik dan eksklusif.
REKAAN lampu hiasan yang menarik dan eksklusif.
Oleh Hartini Mohd Nawi

Kesempurnaan penataan konsep moden dan kontemporari di kediaman Azliza Ariffin, 48 dan Mohamed Azman Shah Ishak, 48, banyak dibantu kehadiran pelbagai aksesori hiasan.

Lakaran lukisan yang menjadi titik fokal ruang tamu itu berupaya mengungkap perjalanan cerita tersendiri.

Bersantai sambil menonton rancangan kegemaran di televisyen, mata tidak terlepas pandang dekoratif rak yang menempatkan aneka aksesori hiasan unik.

Menariknya, kebanyakan aksesori hiasan di kediaman itu ditempah khas dan mempunyai aura estetika luar biasa.

"Kami begitu mencintai keindahan seni hiasan dalaman termasuk aksesori hiasan.

"Apabila ditempah, pastinya ia keluaran terhad dan menepati konsep yang diinginkan," kata Azliza.

Susun atur jambangan bunga ringkas di ruang berhadapan lif nyata tampil mengujakan dalam gubahan eksklusif.

Begitu juga dengan perhiasan alas meja merah hati dan jambangan tulip di ruang makan utama pasti membuatkan tetamu mencuri pandang.

"Latar dinding di ruang ini kami tidak terbiar kosong apabila koleksi gambar keluarga dibingkaikan," katanya.

Reka letak akuarium yang menempatkan pelbagai jenis ikan kecil begitu memukau buat seketika.

Bersebelahan dapur kering, paparan koleksi gambar keluarga dalam percutian indah inap desa hakikatnya menyerikan latar dinding di ruang itu.

Sudut tangga ke tingkat atas tidak dibiarkan kosong tanpa hiasan sesuai sebaliknya beberapa karya seni menghiasi sudut itu dengan dekoratif tersusun indah dalam kelompok tersendiri.

"Karya-karya ini seolah-olah menyapa setiap langkah anda untuk menghayati nilai estetika," katanya.

Aksesori hiasan di setiap bilik tidur tiga cahaya mata pasangan itu juga berbeza antara satu sama lain.

Di bilik tidur utama, susun letak aksesori hiasan dirancang rapi dengan mengekalkan persekitaran selesa dan praktikal.

Rekaan latar dinding yang dihiasi dengan dekoratif berbentuk huruf A itu dimanfaatkan dengan pelbagai koleksi gambar mengimbau nostalgia.

Tidak dilupakan segenap ruang mempunyai penataan cahaya ditambah dengan reka bentuk lampu yang juga ditempah khas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:03 AM