Mazizul Dani


Bangi: Ikatan perkahwinannya teruji dan berantakan ketika menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di London, United Kingdom.

Itu antara dugaan dihadapi Dr Mazlina Mohd Said, 34, ketika mengejar cita-cita sehingga mencetuskan idea penubuhan kumpulan sokongan dikenali sebagai Srikandi PhD bersama beberapa rakan untuk membantu golongan wanita yang melanjutkan pengajian mendepani cabaran.

Mazlina berkata, dia mengalami tekanan perasaan selepas melahirkan anak sulung pada tahun pertama pengajian.

"Saya menyambung pengajian PhD di London School of Pharmacy bersama suami yang mengambil jurusan berbeza di universiti lain pada 2008. Selepas melahirkan anak pertama, saya mengalami tekanan perasaan sehingga kami kerap bergaduh dan saya seakan-akan putus asa dengan perkahwinan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mazlina bagaimanapun tersedar yang dia sebenarnya mengalami tekanan disebabkan kesan pengambilan pil perancang keluarga.

“Saya dan suami kemudian berusaha membina semula hubungan yang hampir terputus dan saling menyokong untuk menamatkan pengajian masing-masing.

"Dua bulan terakhir saya di sana, suami dan anak pulang ke Malaysia sementara saya fokus dengan kajian yang hampir selesai di London,” katanya.

Selepas tamat pengajian pada 2011, Mazlina menjadi tenaga pengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan bertemu dengan Dr Emma Mirza Wati Mohamad, 36, iaitu pencetus idea kepada penubuhan Srikandi PhD.

Menurutnya, dia dan Emma Mirza Wati bersama sembilan lagi rakan kemudian bekerjasama menerbitkan buku bertajuk Srikandi PhD untuk berkongsi pengalaman dengan wanita yang menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan PhD.

“Saya dan Dr Sabariah Mohamed Salleh bertindak sebagai editor mengumpulkan bahan penulisan mengenai pengalaman kami yang kebanyakannya menuntut di luar negara,” katanya.

Sementara itu, Emma Mirza Wati berkata, selepas buku itu diterbitkan pada 2014, mereka mula mengadakan pertemuan secara santai yang dipanggil ‘teh tarik session’ membabitkan penuntut wanita di UKM dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Kami mahu saling memberi sokongan kerana wanita mempunyai pelbagai peranan iaitu sebagai isteri, ibu, anak dan pastinya pelajar,” kata pensyarah jurusan komunikasi UKM itu.

Rakannya, Dr Wan Hanna Melini Wan Mohtar yang juga pensyarah Kejuruteraan Awam UKM berkata, kumpulan sokongan itu memberi ruang kepada penuntut wanita untuk berkongsi apa saja masalah dihadapi dalam menyelesaikan pengajian mereka.

“Wanita kadangkala memerlukan tempat untuk meluahkan perasaan dan kami bersedia membantu kerana pernah melalui jerit perih mendapatkan PhD. Bagi saya 95 peratus kejayaan mendapatkan PhD sebenarnya daripada kesabaran manakala selebihnya kebijaksanaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 4:53 PM
Kumpulan Srikandi PhD yang bersedia memberi sokongan kepada wanita yang melanjutkan pengajian. FOTO ihsan FB  Srikandi PhD
Kumpulan Srikandi PhD yang bersedia memberi sokongan kepada wanita yang melanjutkan pengajian. FOTO ihsan FB Srikandi PhD