YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2020/2021 kepada 11 penuntut institusi pengajian tinggi, di Istana Negara di sini, semalam.

Enam penerima biasiswa bagi pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) adalah penuntut Rehabilitasi Pediatrik (Kanak-kanak) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Noor Amiera Alias, Amalina Hanani Ismail (Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Imperial College of London), Muhammad Hafizul Hazmi Wahab (Sains Komputer, Universiti Putra Malaysia (UPM); Ong Yi Ni (Kimia, University of Oxford); Bryan Lim Wei Tern (Kecerdasan Buatan dan Robotik, Imperial College of London) dan K. Sivasanghari (Kejuruteraan Aeroangkasa, UPM).

Sementara itu, penuntut yang menerima biasiswa bagi pengajian Sarjana adalah Mohamad Khairul Hafizi Rahimi (Kejuruteraan Elektrik, UKM); Nur Khairina Khairu Najihan (Mekatronik, Universiti of Tokyo); Farah Syazana Aspar (Jurisprudens dan Etika Perubatan, University of Melbourne); Rohaisha Jamil (Undang-undang, King's College London) dan Low Suey Yee (Parasitologi, UPM).

Setakat 2019, BYDPA sudah menaja 161 penuntut iaitu 82 untuk pengajian di peringkat PhD dan 79 individu di peringkat Sarjana dengan tajaan meliputi empat bidang utama iaitu Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-Undang dan Kewangan Islam.

Biasiswa BYDPA mula diperkenalkan pada 2006 dan sebanyak 14 sesi penawaran bagi pengajian di peringkat Sarjana dan PhD.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman ketika ditemui berkata, biasiswa berkenaan mengiktiraf kebolehan luar biasa penuntut Malaysia antaranya dalam bidang akademik dan kokurikulum.

"Saya berharap supaya semua penerima biasiswa ini akan membawa nama yang baik dan pulang dengan kejayaan cemerlang kerana mereka membawa nama institusi Yang di-Pertuan Agong semasa pengajian mereka...saya berdoa mereka berjaya dalam pengajian dan kembali berkhidmat kepada negara dan raja," katanya.

Penerima biasiswa bagi PhD, Bryan Lim, 24, memberitahu dia akan menyumbang semula kepada negara dalam bidang kecerdasan buatan (AI) sejurus tamat pengajian dan pulang ke tanah air kelak.

"Perasaan memang gembira kerana tanpa biasiswa ini saya memang tidak boleh melanjutkan pelajaran saya ke peringkat PhD...jadi memang rasa bangga dan akan lakukan yang terbaik" katanya yang juga bekas pemain tenis negara.

Bagi Mohamad Khairul Hafizi, 24, pula beliau berhasrat menjadi warga pendidik dalam bidang kejuruteraan selepas tamat pengajian di peringkat Sarjana nanti.

Beliau yang berasal daripada Kelantan turut berharap dapat menyumbang kembali kepada negara untuk mendidik generasi akan datang dalam meminati dan mempelajari bidang sains dan teknologi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 4:25 PM