Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor. FOTO arkib NSTP
Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor. FOTO arkib NSTP
Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Kelantan mungkin tidak dibenarkan beraksi pada waktu malam menjelang pertemuan dengan T-Team di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, Sabtu ini, jika tidak menjelaskan bayaran levi berjumlah RM18,187.15.

Bayaran itu dituntut Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) menerusi satu surat bertarikh 27 Februari yang meminta Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menjelaskan segera levi perlawanan Kelantan dan Selangor dalam saingan Liga Super pada 25 Februari lalu berdasarkan Penyata Kutip Levi.

Sebelum itu, pihak PSK memuji sikap komitmen KAFA yang menjelaskan segera bayaran levi sejurus perlawanan tamat ketika Kelantan bertemu Kedah, 18 Februari lalu dan Kelantan dengan Melaka United FC (21 Februari).

Namun, KAFA gagal menjelaskan levi perlawanan Sabtu lalu hingga memaksa pihak berkenaan menyarankan badan induk bola sepak negeri itu membayarnya sebelum Khamis (hari ini).

Jika KAFA gagal menjelaskan levi, pihaknya mungkin tidak membenarkan perlawanan Kelantan dengan T-Team pada waktu malam, Sabtu ini, seperti yang ditetapkan Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLPP) dan akan dipinda ke waktu petang.

Namun, jika KAFA gagal melangsaikan levi pada perlawanan berikutnya, pasukan Kelantan tidak akan dibenarkan lagi beraksi dalam mana-mana perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV.

Sementara itu, Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima surat daripada PSK, kelmarin.

Katanya, KAFA kini sedang berunding dengan PSK bagi menyelesaikan masalah itu dan diakui jualan tiket merudum pada perlawanan Kelantan dan Selangor, Sabtu lalu kerana kurangnya kehadiran penonton.

"Kita akan menyelesaikan segera perkara itu dan meminta semua pihak tidak memperbesarkan atau memanipulasi isu berkenaan sehingga menjadi rumit.

"Kami menghormati PSK kerana keputusan yang dibuat itu adalah sebahagian tanggungjawab mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 6:59 PM