SEBAHAGIAN daripada gelagat penonton pada aksi kelmarin.
SEBAHAGIAN daripada gelagat penonton pada aksi kelmarin.
Mohamad Zulhairie Manzaidi

Kota Bharu: Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) ‘sengaja’ menyediakan kerusi buruk di ruang tetamu VIP di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, di sini dalam usahanya menuntut Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menjelaskan bayaran tertunggak stadium.

Setiausaha PSK Azi Rahimee Mohamed berkata, sebelum ini pihak stadium menyediakan kerusi baharu dan elok di kawasan tempat duduk tetamu VIP tetapi sengaja menukar kerusi terbabit pada saat akhir.

Katanya, tindakan itu dibuat untuk menyedarkan KAFA supaya menjelaskan hutang PSK yang tertunggak sejak tahun lalu.

“Biasanya, PSK akan letakkan kerusi ‘velvet’ baharu atau balut dengan sarung kerusi warna putih, tapi malam tadi (kelmarin) kami sengaja letakkan yang lama dan tidak berbalut.

“Kami mahu lihat reaksi KAFA sama ada mereka ada perasaan malu atau tidak apabila hutang tidak bayar tapi minta macam-macam,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Beliau berkata, KAFA masih belum menjelaskan hutang tertunggak dan ia semakin bertambah apabila memasuki musim ini.

Katanya, KAFA sepatutnya melihat perkara itu terlebih dahulu sebelum mengkritik tindakan yang dibuat oleh PSK.

“Mengikut rekod, KAFA masih belum menjelaskan hutang hingga tarikh berakhir 31 Disember 2015 berjumlah lebih RM520,000. Manakala bagi tahun 2016 KAFA mempunyai hutang baharu yang semakin meningkat dari setiap perlawanan dan jumlah terkini sudah melebihi RM100,000.

“KAFA wajib tengok perkara ini dan jangan tengok saja perlu bayar. Jika sudah jelaskan semuanya baru mereka boleh minta macam-macam,” katanya.

Dalam entri terbaru Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa, beliau meluahkan perasaan malu apabila kerusi yang disediakan kepada tetamu VIP di stadium dalam keadaan yang menyedihkan.

Katanya, PSK harus melihat perkara itu agar tidak berlaku perkara yang memalukan apabila pasukan pelawat datang bertandang ke stadium itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 10:52 AM