Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pengurusan T-Team semakin resah meskipun menaruh kepercayaan tinggi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung surat kelulusan pendaftaran pemain import baru selepas pasukan itu kekurangan seorang pemain import berikutan kematian mengejut David Faramola Oniya.

Ketua Pegawai Operasi T-Team Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, beliau berharap badan induk bola sepak negara itu menyegerakan surat kelulusan berkaitan pemain import baru dan bukan mengambil sikap berdiam diri.

Beliau berkata, sikap membisu FAM jelas mengundang resah buat kem The Titans dalam misi untuk memantapkan pasukan untuk bersaing dalam kancah liga yang berbaki sembilan perlawanan lagi.

“Kita sudah hantar permohonan kepada FAM pada 14 Jun lalu untuk membolehkan T-Team mendaftar import baru, tetapi sehingga sekarang kami belum mendapat lampu hijau meneruskan hajat itu.

“Persoalannya sampai bila kami harus menunggu sedangkan saingan liga terus berlangsung apatah lagi beraksi pada bulan Ramadan memerlukan tenaga mencukupi untuk bersaing dan mengekalkan momentum kemenangan,” katanya.

Pada 13 Jun lalu, bola sepak negara dikejutkan dengan pemergian kapten T-Team mendiang Oniya akibat komplikasi jantung ketika beraksi bertemu Kelantan dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV.

Mohd Syahrizan berkata, sebelum ini pengurusan sudah menghubungi FAM untuk mengetahui status berhubung perkara itu namun tidak ada jawapan kukuh diberikan.

“Justeru kami berharap permohonan T-Team ini perlu kelulusan segera untuk membolehkan pasukan menambah kekuatan terutama bahagian pertahanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 8:17 AM