Mohd Nizam (kiri) dan Zaireezal hadir di mahkamah. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Mohd Nizam (kiri) dan Zaireezal hadir di mahkamah. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Iskandar Shah Mohamed


Klang: Dua kakitangan Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan terbabit dalam kejadian letupan bunga api yang mencederakan 15 pengunjung ketika sambutan ambang tahun baru di Klang, awal tahun ini.

Tertuduh, Mohd Nizam Saad, 33, dan Zaireezal Ahmad Zainuddin, 41, membuat pengakuan itu di dua mahkamah berasingan selepas pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Fiesal Mohd Azmi dan Majistret Mariam Maran Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nizam yang juga pembantu tadbir didakwa menyebabkan letupan bunga api hingga mengakibatkan kecederaan kepada 15 pengunjung secara cuai.

Zaireezal yang juga Pengarah Jabatan Korporat Kemasyarakatan MPK pula didakwa

bersubahat dengan Mohd Nizam iaitu mengarahkannya membakar bunga api itu.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di padang Kompleks Sukan Pandamaran, 12.01 tengah malam, 1 Januari lalu.

Justeru, mereka didakwa masing-masing melakukan kesalahan mengikut Seksyen 109 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh maksimum enam bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliah Atiqah Razali dan Amirah Abd Aziz manakala dua tertuduh masing-masing diwakili peguam V Ayasamy dan Ethan Tan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 dan 20 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 1:52 PM