PERCIKAN bunga api yang menuju ke arah orang ramai ketika menyaksikan acara Fiesta GEGAR Klang 2016.
PERCIKAN bunga api yang menuju ke arah orang ramai ketika menyaksikan acara Fiesta GEGAR Klang 2016.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Individu yang meletupkan bahan letupan bunga api mesti berlesen dan mempunyai kelayakan untuk melakukannya, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, penganjur persembahan bunga api yang diadakan di mana-mana kawasan tidak boleh mengupah individu dengan sebarangan untuk meletupkan bahan letupan bunga api bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini akibat tidak mengikut prosedur.

“Jenis bahan letupan yang digunakan juga mesti bahan yang mematuhi piawaian dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Inilah antara perkara yang akan dilihat oleh pihak polis sebelum meluluskan sesuatu pertunjukan bunga api,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Selain itu, katanya, jarak antara peletup bahan letupan bunga api dengan orang ramai juga perlu diambil kira bagi memastikan keselamatan penonton.

Khalid diminta mengulas insiden letupan bunga api yang mencederakan 14 pengunjung ketika sambutan ambang Tahun Baharu 2017 di tapak Fiesta GEGAR Klang 2016 di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang, malam kelmarin.

Beliau berkata polis akan menyiasat punca Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak membuat permohonan kepada polis sebelum persembahan itu diadakan.

Katanya, polis juga akan menyiasat sama ada individu yang meletupkan bunga api pada majlis itu mempunyai lesen atau sebaliknya.

MPK adalah penganjur Fiesta GEGAR Klang 2016 yang berlangsung dari 30 Disember hingga semalam.

Seramai 14 orang terdiri daripada empat kanak-kanak dan 10 dewasa melecur akibat terkena letupan bunga api itu.

Difahamkan, bunga api yang digunakan meletup sebelum ia berada di udara dan mencederakan mereka yang berada di kawasan berhampiran.

Sementara itu, semakan yang dibuat dengan polis berhubung permohonan permit oleh beberapa penganjur pertunjukan bunga api sempena sambutan Tahun Baharu di ibu kota malam tadi mendapati mereka mempunyai permit untuk mengadakan pertunjukan itu. - BERNAMA

– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 9:29 AM