ANGGOTA polis mengiringi dua lelaki yang didenda RM4,000 dan penjara empat hari oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam
ANGGOTA polis mengiringi dua lelaki yang didenda RM4,000 dan penjara empat hari oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam
Adie Suri Zulkefli


DUA lelaki masing-masing didenda RM4,000 dan penjara empat hari oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini kerana menyebabkan kecederaan terhadap orang awam dalam kejadian letupan mercun ketika perarakan Thaipusam, Khamis lalu.

Majistret Mohamad Fared Abd Latif menjatuhkan hukuman terhadap V Indran dan S Pubalan, masing-masing berusia 25 tahun selepas mereka mengaku salah terhadap empat tuduhan mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan terhadap orang awam.

Indran yang bekerja sebagai operator kren dan Pubalan yang juga pembantu tukang masak dituduh bersama-sama membakar mercun secara gopoh atau cuai yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan Restoran Vetrivel di Pekan Lama, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani pada 8.29 malam, 1 Februari lalu.

Mereka dituduh bersama-sama atas empat pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada S Vasatha, 55, R Savinthra, 11, N Murugan, 60, dan D Kumar, 38, pada masa dan tempat yang sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Jora Singh, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam R Babunaidu.

Jora Singh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh berikutan membakar mercun di tempat awam ketika orang ramai sedang berkumpul menyaksikan perarakan itu.

Bagaimanapun, Babunaidu dalam rayuannya meminta hukuman dikurangkan berikutan kedua-dua tertuduh tidak mempunyai niat mencederakan orang awam berikutan mereka hanya ingin menyambut Thaipusam dengan membakar mercun, selain tiada rekod jenayah.

Katanya, mereka juga tampil menyerah diri kepada polis selain menyesal dan insaf atas perbuatan masing-masing.

Mohamad Fared kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 terhadap setiap satu pertuduhan dan empat hari penjara bermula sejak tarikh mereka ditahan.

Bagaimanapun, Indran dan Pubalan terlepas hukuman penjara berikutan mereka sebelum ini direman selama tujuh hari sejak ditahan polis, 1 Februari lalu.

Berita berkaitan

Cuma nak rai Thaipusam...

[UPDATE] Bertempiaran lari cari perlindungan...

23 cedera kerana bunga api

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 6:06 PM