Tertuduh, Hazliza (kanan) dan suaminya, Shahril (dua dari kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Tertuduh, Hazliza (kanan) dan suaminya, Shahril (dua dari kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan bersubahat dan menyalah guna kedudukan bagi kerja berkaitan penilaian di Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang bernilai RM575,360 pada 2019 dan 2020.

Tertuduh Hazliza Md Salleh dan suaminya, Shahril Nizam Mokhtar masing-masing berusia 48 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Bagi prosiding pertama, Hazliza, 48 menghadapi dua pertuduhan iaitu menyalahgunakan kedudukannya sebagai Pengarah Penilaian dan Pengurusan Harta MPK mencadangkan pelantikan Syarikat Nilai Harta Consultant Sdn Bhd yang mana suaminya, Shahril Nizam mempunyai kepentingan di dalamnya.

Cadangan berkenaan adalah bagi Kerja-Kerja Penilaian Kadaran Bagi Harta-Harta Khas (Klang Utara) dan Kerja-Kerja Penilaian Kadaran Fasa 4 Bagi Sebahagian Harta di Kawasan Operasi 2 yang mana harga kerja terbabit masing-masing adalah RM251,000 dan RM324,360.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Majlis Perbandaran Klang, Bangunan Sultan Alam Shah pada 3 Mei 2019 dan 19 Ogos 2020.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Hazliza didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang mana sabit kesalahan boleh di penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Sementara, pada prosiding kedua, Shahril Nizam didakwa atas dua pertuduhan bersubahat bagi kesemua kesalahan itu mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 23(1) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sama di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Noryusriza Zulkifli menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 kepada Hazliza dan Shahril Nizam dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport dan lapor diri di pejabat SPRM berdekatan pada setiap awal bulan.

Peguam yang mewakili Hazliza, V S Selvanteran bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh mempunyai empat orang anak yang mana seorang masih bersekolah rendah dan menjaga bapa yang uzur.

"Tertuduh juga menghidap darah tinggi serta masalah jantung, selain baru sahaja menjalani pembedahan pintasan.

"Selain itu, anak guam sentiasa memberi kerjasama sejak disiasat SPRM pada 2020, justeru saya mohon jumlah jaminan yang munasabah," katanya.

Sementara itu, peguam Nurfatin Amirah Mohd Shaari yang mewakili Shahril Nizam turut memohon pengurangan jaminan atas alasan pendapatan anak guamnya terjejas sejak pandemik Covid-19 dan memohon jaminan RM10,000.

Hakim kemudian memutuskan Hazliza dan Shahril Nizam masing-masing diikat jamin RM30,000 setiap seorang dengan seorang penjamin yang berlainan serta mematuhi syarat tambahan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 12:17 PM