HIZMI Razli (kiri) dan Tengku Shukri dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Bharu. FOTO Zamaun Huri Isa
HIZMI Razli (kiri) dan Tengku Shukri dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Bharu. FOTO Zamaun Huri Isa
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Dua peniaga dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan terbabit dalam kumpulan pengganas Daesh, Mac dan Jun lalu lalu.

Tertuduh, Hizmi Razli Abdul Rahim, 32, dan Tengku Shukri Che Tengku Hashim, 30, masing-masing didakwa terhadap dua pertuduhan di hadapan Majistret Nik Habri Muhammad.

Mengikut pertuduhan, Hizmi Razli dan Tengku Shukri didakwa memberi sokongan kepada kumpulan Daesh dengan melafazkan sumpah taat setia menerusi aplikasi Telegram masing-masing di Kampung Pulau Kapas dan Tanjong Mas, Pengkalan Chepas, di sini,di antara 12.37 tengah malam hingga 5.08 petang pada 30 Mac 2016.

Pertuduhan kedua, mereka didakwa memberi sokongan kepada perbuatan pengganas membabitkan penggunaan bahan letupan dan dilakukan dengan niat untuk melanjutkan ideologi serta dianggap mengugut orang awam melalui aplikasi Telegram di lokasi sama, antara 3.18 pagi hingga 3.32 pagi, pada 28 Jun 2016.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 130J(1) yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda.

Pendakwaan dijalankan oleh Wong Siew Mun dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Hazrin Wahab.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 1:44 PM