SITI Noor Aini  dan Mohammad Fizal dibawa anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Trafik Kuala Lumpur, semalam.
SITI Noor Aini dan Mohammad Fizal dibawa anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Trafik Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Dua pemandu Perodua Myvi termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Trafik di sini, semalam atas tuduhan memandu secara berbahaya dan menyebabkan kematian tiga beranak di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE), awal pagi Sabtu lalu.

Pembantu pengurus restoran, Siti Noor Aini Mohd Said, 35, dan juruteknik komputer, Mohammad Fizal Reza Jamauddin, 31, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan secara berasingan di hadapan Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan.

Mengikut pertuduhan, Siti Noor Aini yang memandu Myvi warna kuning dan Mohammad Fizal yang memandu Myvi putih didakwa memandu secara berbahaya atau dengan kelajuan berbahaya kepada awam dan menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, dan bayi mereka, Nur Firuza Annisa Fairuz Nizam, enam bulan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lebuhraya DUKE, KM6.2 dari arah Ulu Klang menghala ke Jalan Duta, dekat sini pada jam 1.05 pagi, 2 Mei lalu dan didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim manakala Siti Noor Aini diwakili peguam S Prakash dan Mohammad Fizal diwakili peguam Hashim Ibrahim.

Terdahulu, Suhaimi mencadangkan kepada mahkamah supaya kedua-dua tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Suhaimi juga memberitahu pihaknya akan membuat permohonan supaya kedua-dua kes itu dibicarakan sekali pada tarikh sebutan nanti.

Selain itu, beliau memohon supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta lesen memandu kedua-dua tertuduh dirampas dan dibatalkan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, Prakash memohon mahkamah memberikan ikat jamin yang rendah kepada anak guamnya atas alasan Siti Noor Aini menanggung seorang anak dan ibu dengan pendapatan RM2,000 sebulan. Beliau juga membantah permohonan Suhaimi supaya lesen memandu anak guamnya dirampas.

Sementara itu, Hashim juga memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya dijamin RM5,000 kerana dengan pendapatan RM2,000, tertuduh menanggung isteri dan dua anak masing-masing berusia dua tahun satu bulan dan 10 bulan.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM9,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selain menggantung lesen memandu dan pasport diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai serta menetapkan 22 Jun untuk sebutan semula kes.

Peguam pemerhati C Leo Camoens turut hadir mewakili keluarga mangsa. Bagaimanapun ahli keluarga mangsa tidak kelihatan di mahkamah.

Dalam kejadian itu, Fairuz Nizam disahkan maut di tempat kejadian manakala isterinya, Nova Safitri dan Nur Firuza Annisa meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pasangan itu meninggalkan dua lagi anak mereka, Nur Firuza Amirah, 7 dan Nur Firuza Aqila, 4.

Media melaporkan, berdasarkan maklumat yang menjadi viral di laman sosial, kemalangan dipercayai berpunca daripada enam kereta Perodua Myvi yang sedang berlumba sebelum dua daripadanya terbabit dalam kemalangan dengan Pajero Sport yang dinaiki mangsa hingga menyebabkan berpusing dan terbalik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 9:48 AM