Keadaan ambulans yang terbalik akibat dirempuh MPV di lampu isyarat Jalan Persiaran Seri Alam. FOTO ihsan pembaca
Keadaan ambulans yang terbalik akibat dirempuh MPV di lampu isyarat Jalan Persiaran Seri Alam. FOTO ihsan pembaca
Ibrahim Isa


Johor Bahru: Tiga cedera ringan selepas ambulans dinaiki mereka dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) di lampu isyarat Jalan Persiaran Seri Alam, dekat sini, 9.40 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, dalam kejadian itu, pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Masai dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dekat sini, untuk menghantar seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang diserang sawan.

"Apabila tiba di tempat kejadian, ambulans berkenaan yang membunyikan siren dan diberi laluan berada di lorong tengah dan cuba melintas simpang empat itu.

"Malangnya, apabila melintas tiba-tiba sebuah Toyota Innova merempuh bahagian kiri ambulans hingga terbalik.

"Akibat kejadian itu, pemandu berusia 44 tahun, pegawai perubatan berusia 27 tahun dan ibu mangsa berusia 27 tahun, cedera ringan manakala pembantu perubatan dan pesakit tidak cedera.

"Lelaki yang memandu Toyota Innova berusia 21 tahun juga tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 5:02 PM