Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan berhampiran Plaza Tol Seremban, malam tadi. - Foto Ihsan Bomba
Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan berhampiran Plaza Tol Seremban, malam tadi. - Foto Ihsan Bomba
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Seremban: Seorang wanita maut manakala seorang lelaki serta empat kanak-kanak dipercayai sekeluarga cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 260, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), berhampiran Plaza Tol Seremban, arah utara, malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Ibu Pejabat Bomba Negeri Sembilan, Siti Noraini Ab Rashid, berkata kejadian itu membabitkan Proton Preve, Toyota Vios dan Toyota Innova.

Dua wanita dalam Toyota Vios juga cedera dalam kemalangan itu.

Siti Noraini berkata, pihaknya yang menerima maklumat mengenai kejadian, mengerahkan lapan anggota dan sebuah jentera ke lokasi.

"Sebaik tiba pada 11.54 malam, seorang wanita dalam Toyota Innova didapati sudah meninggal dunia, manakala seorang lelaki dan empat kanak-kanak dalam kenderaan berkenaan, cedera parah,” katanya.

Menurut Siti Noraini, dua wanita yang menaiki Toyota Vios cedera, manakala dua individu lagi dalam Proton Preve, juga selamat.

“Semua mangsa diserahkan kepada pihak ambulans serta polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 10:25 AM