Salman Hamat

 

Jasin: Seorang maut manakala lapan termasuk empat kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 192.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, berhampiran susur keluar Plaza Tol Ayer Keroh, 5.15 pagi tadi.

Kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova, Toyota Wish, Mitsubishi Lancer, Perodua Myvi dan sebuah lori membawa muatan ayam.

Pemandu Perodua Myvi maut selepas keretanya melanggarbelakang lori membawa ayam ketika mengelak daripada melanggar tiga kenderaan lain.

Kejadian dipercayai berlaku apabila empat kenderaan terbabit cuba mengelak daripada melanggar Toyota Innova dinaiki enam beranak yang terbabas dan menghalang lorong kiri.

Mangsa kemalangan Mohd Yazad Juri, 39, yang memandu Mitsubishi Lancer berkata, kejadian berlaku selepas hujan.

"Saya tidak sempat elak Toyota Innova terbabit lalu melanggar belakang kenderaan itu menyebabkan kereta terbabas ke lorong kanan.

"Dalam keadaan kelam kabut saya terus keluar dari kereta. Beberapa saat kemudian saya yang masih dalam keadaan bingung melihat Perodua Myvi terbabit melanggar belakang lori ayam dan diseret sejauh hampir 200 meter," katanya ketika ditemui.

Yazad berkata, dia dan beberapa lagi mangsa lain kemudian menghubungi talian kecemasan dan membantu mereka yang cedera sebelum pasukan bomba dan ambulans tiba di lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 10:24 AM
Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 192.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara di Jasin, Melaka, pagi tadi. FOTO MUHAMMAD HATIM AB MANAN
Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 192.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara di Jasin, Melaka, pagi tadi. FOTO MUHAMMAD HATIM AB MANAN