KUALA LUMPUR 16 OKTOBER 2019. Penyanyi, Ernie Zakri  hadir pada sidang media Anugerah Skrin 2019 di The Linc, Kuala Lumpur. NSTP/ AZIAH AZMEE
KUALA LUMPUR 16 OKTOBER 2019. Penyanyi, Ernie Zakri hadir pada sidang media Anugerah Skrin 2019 di The Linc, Kuala Lumpur. NSTP/ AZIAH AZMEE
Syafil Syazwan Jefri


MELANGKAH ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) adalah satu pencapaian yang menjadi impian setiap penyanyi.

Bagi penyanyi, Ernie Zakri yang layak ke AJL34 menerusi lagu Ku Bersuara ciptaan Syamel bersama Omar K, Blaine Bakri dan John Jeevasingham, dia akan terus mengerah kudrat untuk memberikan yang terbaik.

Berkongsi mengenai persiapannya menjelang AJL34 yang akan berlangsung 9 Februari ini, Ernie berkata persiapan sedang dibuat dan segalanya berjalan lancar.

“Setakat ini, persiapan untuk AJL sudah melebihi 50 peratus. Apa yang boleh saya janjikan adalah, akan ada persembahan yang sedikit berbeza daripada kebiasaan untuk lagu Ku Bersuara,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan menampilkan kejutan dalam persembahannya, Ernie berkata biarlah ia menjadi tanda tanya.

“Kalau kejutan, kita kena simpan dulu. Kalau diberitahu, tak jadi kejutan,” katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai persembahan yang akan diberikan saat beraksi di pentas AJL nanti, Ernie meluahkan pendapatnya mengenai identiti seorang penyanyi.

“Masyarakat kita gemar memberikan kritikan berkaitan dengan karya seni terutama cara penyampaian seseorang artis. Di sini, saya ingin katakan sesuatu mengenainya.

“Saya nak jelaskan, setiap penyanyi ada cara nyanyian tersendiri dan saya nak orang faham bahawa itulah yang menjadi keunikan dan identiti seseorang penyanyi.

“Sekiranya cara nyanyian penyanyi A sama seperti penyanyi B, di mana identitinya dan nanti akan dikatakan meniru pula,” katanya.

Dikatakan bakal bersaing hebat dengan Aina Abdul yang juga komposer serta penyanyi lagu Sumpah dari segi vokal, Ernie menganggap itu sebagai satu pentas untuk kedua-dua mereka menonjolkan apa dimiliki.

“Saya kurang gemar sekiranya ada pihak yang membandingkan kami kerana masing-masing memiliki cara tersendiri dalam membuat persembahan.

“Aina adalah penyanyi dan komposer yang sangat kreatif kerana bagi saya, dia sentiasa hadir dengan idea segar,” katanya.

Mengenali Aina sejak beberapa tahun lalu, Ernie tidak menolak sekiranya satu hari nanti, mereka berpeluang berkolaborasi bersama.

“Saya sentiasa terbuka untuk berkolaborasi dengan sesiapa saja. Aina antara penyanyi dan komposer yang dirasakan ada keserasian dengan saya.

“Mungkin genre muzik dan ‘forte’ kami dalam berkarya tak banyak beza. Itu membuatkan kami mudah serasi dan satu kepala,” katanya.

Ernie sebelum ini pernah merangkul Anugerah Vokal Terbaik pada AJL32 menerusi lagu Aku Cinta duet bersama Syamel.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 6:05 AM