SHIHA bersama Ajai yang menghasilkan melodi Seperti Novel Cinta.
SHIHA bersama Ajai yang menghasilkan melodi Seperti Novel Cinta.

Tidak dinafikan single penyanyi bernama Shiha Zikir ini kurang mendapat tempat di hati peminat sebelum ini.

Namun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang dan kini dia tampil dengan buah tangan terbaru berjudul Seperti Novel Cinta.

Seperti Novel Cinta yang dicipta komposer terkemuka Ajai menampilkan melodi balada yang tampak serasi dengan vokal penyanyi berusia 29 tahun ini.

Buat pendengar yang pertama kali mendengar lagu ini, tentunya beberapa nadanya tidak lagi asing kerana ia masih memiliki identiti lagu-lagu ciptaan Ajai sebelum ini.

Gabungan vokal lunak Shiha pula sememangnya mencipta kombinasi lengkap dalam mengalunkan melodi Seperti Novel Cinta.

Sesekali apabila diamati, ada sedikit persamaan antara cara nyanyian Shiha dan penyanyi dari Indonesia Rossa, namun Shiha masih tidak menghilangkan identitinya sebagai penyanyi.

Tidak hairanlah kenapa dia begitu disenangi dan diterima dengan baik di Indonesia. Selain wajahnya yang nampak ada persamaan dengan Rossa, Shiha juga memiliki suara yang sesuai untuk pasaran di sana.

Bagi Ajai sendiri, lagu ini adalah salah satu karya yang sesuai buat Shiha memandangkan penyanyi itu mampu melantunkan lagu daripada pelbagai genre berbeza.

“Dia bukan sahaja mampu menyanyikan satu genre, malahan bijak melantunkan pelbagai genre. Lihat sahaja pencapaiannya dalam program D’Academy Asia di Jakarta sebelum ini.

“Walaupun tidak hanya memfokuskan kepada genre dangdut, namun program itu membuka ruang buat Shiha untuk menonjolkan bakatnya sebagai penyanyi yang versatile,” katanya.

Di Jakarta, lagu ini sudah dilancarkan pada 13 Mei lalu dan lebih awal berbanding di Malaysia. Namun begitu, Seperti Novel Cinta juga nampaknya sudah mula berkumandang di stesen radio tempatan dan mendapat permintaan daripada peminat.

Bagi Shiha, dia mengharapkan agar single baru ini dapat membuka mata pendengar tempatan untuk memberi peluang kepadanya bagi mengembangkan sayapnya sebagai penyanyi.

“Tentunya setiap kali hadir dengan produk baru, saya akan mengharapkan yang terbaik. Untuk Seperti Novel Cinta, saya harap penerimaannya positif, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga sehingga ke Indonesia,” katanya.

INFO:

Lagu: Seperti Novel Cinta

Penyanyi: Shiha Zikir

Komposer & penulis lirik: Ajai

Terbitan: Wake The Baby Sdn Bhd

Edaran: Warner Music Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 10:58 AM