AYU Hadi. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
AYU Hadi. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Noriza Sainal

Walaupun populariti yang diraih tidak sehebat dan sepantas penyanyi baru lain, pendatang baru, Ayu Hadi, 24, yang sudah memiliki single berjudul Hilang sejak Disember tetap optimis dan percaya dengan bakat dimiliki.

Ayu ketika ditemui berkata, dia yakin rezeki untuknya akan tiba juga dan menjadikan single pertamanya itu sebagai permulaan untuk melakar kejayaan serta memperluas kerjayanya.

“Saingan memang ada, tetapi kejayaan adalah rezeki masing-masing. Saya lebih melihat ke hadapan dengan menjadikan penyanyi lama yang lebih kukuh dalam industri muzik sebagai rujukan. Saya juga berharap dapat menimba ilmu daripada mereka,” katanya.

Ayu berkata, walaupun ‘trend’ sekarang kebanyakan penyanyi muncul dengan lagu pop rancak, dia selesa dengan pop balada kerana itu antara genre kegemarannya.

“Selain itu, saya ada juga mencuba untuk menyanyikan lagu berentak irama Melayu asli,” katanya.

Ayu berkata, dia tidak mempunyai guru vokal atau pergi ke kelas khusus untuk memantapkan vokalnya, tetapi dia memilih mempelajarinya sendiri menerusi gerakan bibir penyanyi.

“Saya belajar vokal sendiri apabila secara automatik terikut gerakan bibir (lenggok dan getaran) mengikut penyanyi yang dilihat,” katanya.

Berkongsi mengenai single sulungnya ciptaan Jas Fair, dia berharap akan lebih berjaya dan dikenali menerusi lagu itu.

“Saya berpuas hati dengan lagu ini kerana ia adalah hajat dan keinginan yang sudah lama diimpikan. Namun pada masa sama, saya juga berharap Hilang dapat diperdengar kepada peminat menerusi stesen radio,” katanya yang berhasrat memasuki pentas Anugerah Juara Lagu seperti penyanyi lain.

Bercerita lanjut mengenai permulaannya menceburi bidang nyanyian, Ayu berkata, dia bermula di majlis perkahwinan dan ‘busking’.

Malah, penyanyi ini juga pernah membawa lagu berbahasa Tagalog walaupun tidak menggunakannya sebagai bahasa pertuturannya.

Dalam pada itu, Ayu yang menjadikan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai idolanya tidak memandang negatif terhadap penggunaan gimik untuk melancarkan sesuatu karya.

“Saya melihat ia dari sisi positif apabila saya juga menggunakannya pada awal pelancaran single Hilang”.

“Setakat ini pendengar menunjukkan respons positif dan jika ada yang negatif, saya akan balas dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 12:00 PM