GIOVINAZZI
GIOVINAZZI
AFP

Shanghai: Antonio Giovinazzi (gambar) akan menggantikan Pascal Wehrlein bagi perlumbaan kedua berturut-turut dan memandu buat Sauber pada Grand Prix China minggu ini.

Wehrlein masih bergelut dengan tahap kecergasan berikutan kemalangan dalam perlumbaan antara juara Januari lalu yang bermakna dia terlepas hampir semua latihan dan ujian pramusim.

Giovinazzi, 23, berakhir di tangga ke-12 pada penampilan GP sulungnya di Melbourne 11 hari lalu, selepas hanya berkesempatan menjalani ujian pramusim selama dua hari bersama pasukan Sauber.

“Bagi saya apa yang paling penting saya boleh berlatih secara intensif bagi memastikan persembahan saya 100 peratus selepas ini,” kata Wehrlein.

Pemandu Jerman berusia 22 tahun itu berharap dapat kembali memandu pada GP Bahrain minggu depan namun mengakui dia mungkin terpaksa menunggu hingga GP Russia di Sochi, tiga minggu lagi.

“Harapnya saya boleh memandu di Bahrain tapi jika sebaliknya, maka saya menggunakan masa terluang untuk bersedia sepenuhnya bagi GP Russia,” ujar Wehrlein.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 8:13 AM