Reuters

London: Pemandu Jerman, Pascal Wehrlein akan kembali mengemudi jentera Sauber di Bahrain hujung minggu ini sesudah terlepas dua perlumbaan pertama Formula Satu musim ini kerana isu kecergasan, menurut pasukan berpangkalan di Switzerland itu semalam.

“Berita baik: Kami mengumumkan Pascal Wehrlein akan kembali memandu jentera di GP Bahrain,” menurut Sauber dalam Twitter.

Perlumbaan di Sakhir Ahad ini adalah penampilan sulung pemandu berusia 22 tahun itu buat pasukan itu selepas memandu bersama pasukan yang kini dimansuhkan Manor tahun lalu, berakhir di tangga ke-13 di Bahrain.

Pemandu Itali, Antonio Giovinazzi, pemandu simpanan Ferrari, mengambil alih tempat Wehrlein di Australia dan China tanpa meraih sebarang mata selain mengalami kemalangan ketika kelayakan dan perlumbaan di Shanghai, hujung minggu lalu.

Ketiadaan Wehrlein di China adalah kerana mahu memberikan rehat secukupnya untuk Bahrain.

Pemandu Jerman itu, yang mempunyai hubungan baik dengan pasukan juara Mercedes, cedera belakangnya ketika kemalangan dalam “Perlumbaan Juara-Juara” di Miami Januari lalu dan gagal berlatih buat beberapa minggu sejak itu.

Sekalipun dia hadir menjalani ujian di Sepanyol bulan lalu dan dibenarkan untuk berlumba di Australia, dia menarik diri pada Sabtu sebelum latihan terakhir.

Seorang lagi pemandu Sauber adalah Marcus Ericsson dari Sweden, yang belum mengutip sebarang mata musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 9:47 AM