AFP

Spielberg, Austria: Lewis Hamilton berlanggar dengan rakan sepasukan Mercedes Nico Rosberg pada pusingan terakhir yang mendebarkan sebelum menjulang kemenangan dramatik Grand Prix Austria.

Juara dunia tiga kali itu, bermula dari petak pertama, mengasak pendahulu kejuaraan yang bertahan di selekoh kedua sebelum kedua-duanya berlaga.

Rosberg menolak Hamilton keluar dari trek namun pelumba Britain itu tidak mengalah apabila kembali mengasak sebelum sayap kedua-dua kereta sekali lagi berlaga sebelum Hamilton memintas untuk muncul juara.

Di belakangnya Rosberg mengalami kerosakan sayap depan dan ketinggalan untuk menduduki tangga keempat.

Pelanggaran itu melengkapkan pertarungan hebat antara dua pelumba Mercedes selepas perlumbaan yang penuh dengan pelbagai insiden.

Pelumba remaja Belanda Max Verstappen menikmati podium kedua sepanjang kariernya selepas menduduki tempat kedua buat Red Bull di depan pelumba Finland Kimi Raikkonen yang memandu Ferrari.

Rosberg keempat di depan pelumba Australia Daniel Ricciardo yang memandu Red Bull kedua, pelumba Britain Jenson Button (McLaren Honda), pelumba Jerman Romain Grosjean (Haas) serta pelumba Sepanyol Carlos Sainz (Toro Rosso).

Pelumba Finland Valtteri Bottas yang memandu Williams di tempat kesembilan di depan seorang lagi pelumba Jerman Pascal Wehrlein yang merebut mata tunggal terakhir buat Manor.

Pegawai pertandingan mengumumkan akan menjalankan siasatan berhubung peranan Rosberg sewaktu pelanggaran pusingan terakhir sebaik tamat perlumbaan ketika Hamilton diejek segelintir penyokong sewaktu berada di podium.

“Saya berada di luar,” kata Hamilton, menerusi radio pasukan.

“Bukan saya yang melanggar.”

Kemenangan Hamilton itu menamatkan harapan Rosberg memburu kemenangan ketiga berturut-turut dan jurang dengan pelumba Jerman itu kini berkurangan daripada 24 kepada 11 mata menjelang perlumbaan Grand Prix Britain di Silverstone, hujung minggu depan.

Kemenangan itu adalah yang ke-46 buat Hamilton sepanjang kariernya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2016 @ 10:43 AM