KETIADAAN tonggak utama jejas aksi skuad B-22 negara.
KETIADAAN tonggak utama jejas aksi skuad B-22 negara.
myMetro

Kuala Lumpur: Ketiadaan hampir separuh tonggak utama skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara jelas ‘mencacatkan’ kekuatan sebenar pasukan muda negara apabila tumbang 0-3 pada aksi persahabatan antarabangsa bertemu skuad B-22 Vietnam di Stadium Thong Nhat, malam tadi.

Ia aksi dan kekalahan pertama skuad kendalian Frank Bernhardt tahun ini yang sedang bergelut mempersiapkan pasukan mantap menjelang saingan Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini dengan misi getir memastikan pingat emas digenggam.

Ternyata ketiadaan pemain utama seperti Dominic Tan, Muhd Safawi Rasid, Nur Shamie Iszuan dan Matthew Davies memberikan kesukaran kepada anak didik Bernhardt yang lebih banyak menerima asakan sepanjang aksi.

Hanya seminit diperlukan anak buah Nguyen Huu Thang untuk membuka jaringan hasil kesilapan barisan pertahanan Malaysia apabila Ho Tuan Tai pantas menghukum, sekali gus membolehkan Vietnam mendahului 1-0.

Pemain negara kembali mengatur gerakan untuk memadamkan kelebihan itu, namun kurangnya idea di bahagian tengah selain gemar menggunakan hantaran jauh nyata menyulitkan misi memburu gol penyamaan.

Sebaliknya, penyerang tuan rumah Nguyen Van Toan meledak gol kedua pada minit ke-43 bagi memberikan Vietnam selesa di depan sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Malaysia memulakan aksi dengan melancarkan beberapa gerakan ke arah pertahanan tuan rumah, namun masih tiada peluang buat skuad Projek Sukan SEA 2017 itu meraih gol.

Ketua pasukan Vietnam, Nguyen Cong Phuong sebaliknya menggandakan menjaringkan gol ketiga menerusi tendangan kaki kirinya pada minit ke-81 sekali gus menamatkan saingan dengan kemenangan selesa ke atas pasukan negara.

Selepas ini, skuad Bernhardt akan menyertai Kejohanan B-22 Piala Dubai yang disertai lima negara - Jordan, Arab Saudi, Thailand, Korea Utara dan tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) - dari 20-28 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 10:17 AM