HAFIZ (kiri) mahu rebut tempat dalam kesebelasan utama Bos Gaurus.
HAFIZ (kiri) mahu rebut tempat dalam kesebelasan utama Bos Gaurus.
Rodly Fadly

Kuala Lumpur: Beraksi hanya 10 minit dalam tempoh 270 minit perlawanan yang diharungi Perak dalam Liga Super setakat ini sesuatu yang mengecewakan, namun Hafiz Kamal tidak berputus asa untuk memikat hati jurulatih Karl-Heinz Weigang.

Hafiz, antara bintang tempatan yang dibawa masuk untuk memperkukuhkan skuad The Bos Gaurus musim ini ternyata belum mendapat kepercayaan Weigang untuk diturunkan dalam kesebelasan utama sebaliknya hanya layak berada dalam senarai 18 pemain.

“Kalau ditanya, secara jujur saya mengaku memang kecewa dengan kedudukan dalam pasukan sekarang. Apabila meninggalkan Selangor untuk menyertai Perak, saya cukup bersemangat untuk beraksi dalam kesebelasan utama.

“Tapi, setakat ini saya hanya diturunkan selama 10 minit ketika kami menentang Pulau Pinang. Selebihnya, menjadi pemain simpanan ketika menentang Pahang dan Melaka United.

“Saya sudah memberikan yang terbaik dalam latihan serta mengikut segala arahan serta strategi permainan yang diatur jurulatih. Namun, setakat ini belum ada rezeki saya untuk bermain sebagai pemain utama.

“Weigang seorang jurulatih berpengalaman, saya yakin beliau lebih arif dalam perancangan pasukan. Sudah pasti apa yang beliau lakukan adalah yang terbaik untuk Perak.

“Sebagai pemain, saya tidak perlu mempertikaikan keputusan jurulatih. Sebaliknya saya akan bekerja lebih keras untuk membuktikan kemampuan sebenar hingga mendapat kepercayaan beliau,” kata Hafiz.

Kecuali Shahrom Kalam, Hafiz bersama tiga lagi pemain, Zaquan Adha Radzak, Nazrin Nawi dan Jasazrin Jamaluddin ternyata belum mendapat kepercayaan penuh daripada Weigang apabila masih gagal menempatkan diri dalam kesebelasan utama.

Begitupun, tanpa kelibat pemain yang dianggap bintang tempatan itu, Perak kini mampu menduduki tangga kedua dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 9:05 AM