ROSFAZILAH (kiri) bersama suaminya, Mohd Nor menunjukan anak patung yang akan diberi kepada kanak-kanak Rohingya  pada Program misi Food Flotilla For Myanmar. FOTO Syarafiq Abd Samad
ROSFAZILAH (kiri) bersama suaminya, Mohd Nor menunjukan anak patung yang akan diberi kepada kanak-kanak Rohingya pada Program misi Food Flotilla For Myanmar. FOTO Syarafiq Abd Samad
Yusmizal Dolah Aling


Selat Melaka: “Saya tidak tahu siapa pemilik baru patung ini. Sangat comel, malah anak saya di rumah pun suka. Kami namakannya sebagai Blu.

“Dalam banyak-banyak barang sumbangan, inilah satu-satunya patung mainan yang dihantar ke Pusat Pengumpulan Barangan Sumbangan di Kampung Delek Klang. Hari ini ia berada di atas Nautical Aliya, saya akan serahkan kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun, sebaya dengan anak saya,” kata Rosfazilah Mohd Noor, 51, ketika ditemui di atas kapal Nautical Aliya yang dalam pelayaran misi kemanusiaan Food Flotilla For Myanmar.

Kapal itu berlepas dari Pelabuhan Kelang, Jumaat lalu membawa 159 peserta termasuk Rosfazilah dan suaminya, Jamuliddin Elias.

Katanya, barangan itu ditemuinya ketika sedang mengemas semua sumbangan di Masjid Nurul Amin dan ia sangat disukai anaknya Nurhanzalah Jamuliddin, 7 sehinggakan dia mahu ia diserahkan kepada rakan seusianya.

Rosfazilah berkata, pada awalnya anaknya itu mahu menyimpan saja patung berkenaan kerana ia dijadikan barang sumbangan, tetapi memutuskan untuk menyerahkannya kepada 'pemilik baru' di Myanmar atau Bangladesh.

“Blu akan dibawa turun nanti dan saya akan cuba mencari pemiliknya. Kalau boleh sama seperti Baby (Nurhanzalah). Semoga ia menjadi pemberian berharga kepada penerimanya kelak," katanya yang juga pembantu tukang masak misi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 4:55 PM