kapal Nautical Aliya dijangka tiba di Pelabuhan Klang Khamis ini.
kapal Nautical Aliya dijangka tiba di Pelabuhan Klang Khamis ini.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur : Selepas misi kemanusiaan Food Flotilla For Myanmar selesai seminggu lalu, kapal Nautical Aliya dijangka tiba di Pelabuhan Klang Khamis ini.

Ketua Misi Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kapal berkenaan bersama sukarelawan dijangka tiba pagi Khamis selepas berlayar dari pelabuhan Chittagong Bangladesh Khamis lalu.

Katanya, kapal kemanusiaan diterajui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, iaitu Kelab Putera 1 Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), disokong lebih 30 NGO ASEAN dan antarabangsa itu memasuki Selat Melaka hari ini.

"Ini melengkapkan pelayaran misi Food Flotilla For Myanmar yang berjaya menghantar 2,300 tan makanan dan ubat-ubatan ke wilayah Rakhine, Myanmar dan Teknaf, Bangladesh sejak 3 Februari lalu. Semua kru dan penumpang Nautical Aliya dalam keadaan sihat dan selamat.

"Majlis sambutan kepulangan semua 184 sukarelawan Nautical Aliya akan diadakan di Boustead Cruise Terminal Pelabuhan Klang jam 10.00 pagi Khamis. Ia akan disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 8:49 PM