Jamuliddin (kiri) meninjau persiapan hidangan untuk sukarelawan.
Jamuliddin (kiri) meninjau persiapan hidangan untuk sukarelawan.
Oleh Yusmizal Dolah Aling


Laut Andaman: Menu Teh Arab iaitu campuran pudina, bunga cengkih, kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga adalah hidangan istimewa dari dapur Nautical Aliya.

Ramuan yang diilhamkan daripada sejenis teh dikenali Nab Nab, ia mampu menghilangkan rasa mual dan muak selepas makan serta rasa tidak selesa terutama ketika berada di lautan.

Ketua Tukang Masak, Jamuliddin Elias, 54, berkata, ia hasil kajian yang dilakukannya sebelum ini dan mendapati ia sangat sesuai untuk menyegarkan badan.

“Empat bahan yang saya selalu sebut sebagai empat beradik iaitu cengkih, bunga lawang, kayu manis dan pelaga apabila dicampur akan menjadi herba.

“Sesuai dengan perjalanan jauh ini,ia dapat membantu sukarelawan kekal cergas dan mengelakkan rasa pening, nak muntah dan sebagainya,” katanya.

Jamuliddin berkata, dia bersama isteri, Rosfazilah Mohd Noor, 51, dan lapan pembantu memulakan tugas seawal 4 pagi sehingga 10.30 malam menyediakan pelbagai hidangan.

Katanya, menu yang disediakan adalah masakan ASEAN, Eropah dan untuk vegetarian sesuai dengan sukarelawan pelbagai negara di atas kapal.

“Kita ada lapan orang vegetarian dan beberapa orang dari Eropah. Jadi hidangan ini saya akan pelbagaikan supaya kena dengan selera semua.

“Alhamdulillah saya dibantu 10 sekretariat yang masing-masing bertanggungjawab memastikan semuanya lancar termasuk kebersihan di dapur. Setakat ini semuanya berjalan lancar,” katanya.

Menurutnya, pengalaman dua kali memasak di atas Mavi Marmara pada 2010 membantunya menyediakan hidangan untuk sukarelawan Flotilla Kemanusiaan Ke Myanmar.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia berkata, secara asasnya semuanya sama, cuma saiz Mavi Marmara dengan 577 penumpang berbanding hanya 215 orangdi atas Nautical Aliya.

“Bekalan yang kita bawa hari ini ialah daging yang jumlahnya bersamaan seekor lembu, lima ekor kambing, 300 kilogram ikan dan 300 ekor ayam.

“Insya-Allah ia cukup. Sampai di Yangon nanti saya akan tambah bekalan mengikut jumlah yang diperlukan. Yang penting, semua di atas kapal dapat makan,” katanya yang berpengalaman dalam misi kemanusiaan sejak 1991.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 7:19 AM