Orang ramai mengutip kerang yang terdampar di Pantai Batu Hitam selepas hujan lebat dan ombak besar sejak beberapa hari lalu. - Foto Bernama
Orang ramai mengutip kerang yang terdampar di Pantai Batu Hitam selepas hujan lebat dan ombak besar sejak beberapa hari lalu. - Foto Bernama
BERNAMA

Kuantan: Hujan lebat dan ombak besar sejak beberapa hari lalu, turut membawa rezeki kepada penduduk di kawasan Balok di sini, apabila ribuan kerang terdampar di Pantai Batu Hitam sejak awal pagi, hari ini.

Sebaik berita mengenai tentang perkara itu tersebar melalui Facebook dan WhatsApp, orang ramai menyerbu pantai berkenaan bersama keluarga dengan membawa pelbagai alatan untuk mencari kerang.

Situasi di pantai berkenaan bagaikan pesta apabila orang ramai berlumba-lumba mengutip kerang yang terdampar dan ada yang membawa alat menguis pasir mencari makanan laut kegemaran ramai itu.

Ahmad Khairuddin, 37, berkata dia bersama keluarga mengambil peluang mengutip kerang berkenaan selepas mengetahui perkara itu viral di media sosial.

"Saya datang dari pagi tadi dan memang berhajat untuk datang selepas mengetahuinya melalui Facebook. Tahun lalu pun saya ada mendengar perkara yang sama berlaku di sini, tetapi tidak sempat datang.

"Tahun ini, Alhamdulillah ada juga rezeki walaupun tidak banyak kerana orang terlalu ramai," katanya di sini, hari ini.

Rahayu Ramzan, 35, datang ke Pantai Batu Hitam seawal 10 pagi selepas mengetahui berita itu daripada ibunya.

"Pagi tadi dalam jam 10 lebih, saya dah datang dan tengok orang dah ramai. Selepas itu saya balik ke rumah tukar baju dan datang kembali mencari kerang. Dalam masa singkat saya sudah dapat sebesen kerang," katanya.

Menurut Nor Wahida Abu Karim, 29, sejak dua tahun kebelakangan ini kerang terdampar selepas ombak besar dan angin kuat.

"Mungkin kerang ini hanyut sebab arus kuat, namun Alhamdulillah, inilah yang dikatakan rezeki musim hujan," katanya yang ditemani suami dan dua anak perempuannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 8:21 PM