BERNAMA

Kuantan: Orang ramai yang mengambil kerang di Pantai Batu Hitam, Balok di sini, dinasihatkan memasak hidupan laut itu dengan sempurna untuk mengelak keracunan.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri Datuk Adnan Hussain berkata walaupun secara umumnya kerang itu selamat dimakan, orang ramai perlu mengambil langkah berhati-hati sebelum memakannya.

“Hari ini pihak Makmal Biosekuriti Perikanan Kuantan mengambil sampel kerang itu untuk kajian awal kandungannya.

“Keputusan dijangka diperoleh seminggu lagi, justeru kita minta orang ramai yang mengutip kerang ini agar memasaknya dengan sempurna," katanya selepas mengambil sampel kerang di pantai berkenaan hari ini.

Menurut Adnan, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan keracunan membabitkan kerang berkenaan.

Beliau berkata pergerakan air pasang besar baru-baru ini mungkin menghanyutkan kerang yang lazimnya ditemui di kawasan berlumpur di pantai barat Semenanjung.

Semalam, penduduk di sekitar Kuantan dikejutkan dengan "lautan" kerang yang terdampar di Pantai Batu Hitam menyebabkan ramai mengambil kesempatan mengutip makanan laut itu sebaik berita mengenainya tular menerusi laman sosial.

Tinjauan hari ini mendapati bilangan mereka yang datang mencari kerang, bertambah.

Seorang penduduk Kamaruddin Razak, 40, yang ditemui yakin kerang yang ditemui terdampar di pantai berkenaan selamat dimakan.

"Kerang ini nampak segar, datang dari laut pun sebab ditolak oleh ombak. Jadi saya rasa kalau masak sempurna mungkin tiada masalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2017 @ 4:34 PM
Mohd Adam Haridh Amizi, 10, menunjukkan kerang yang dipungutnya, hari ini. Sejak viral di media sosial semalam, semakin ramai orang datang ke Pantai Batu Hitam mencari kerang yang terdampar dibawa ombak. - Foto Bernama
Mohd Adam Haridh Amizi, 10, menunjukkan kerang yang dipungutnya, hari ini. Sejak viral di media sosial semalam, semakin ramai orang datang ke Pantai Batu Hitam mencari kerang yang terdampar dibawa ombak. - Foto Bernama