ORANG ramai membanjiri sepanjang kawasan Pantai Mempisang untuk mengutip kerang terdampar.
ORANG ramai membanjiri sepanjang kawasan Pantai Mempisang untuk mengutip kerang terdampar.
KANAK-KANAK tidak melepaskan peluang mengutip kerang yang terdampar.
KANAK-KANAK tidak melepaskan peluang mengutip kerang yang terdampar.
NORSAIDAH menunjukkan kerang yang berjaya dikutip.
NORSAIDAH menunjukkan kerang yang berjaya dikutip.
Oleh Zul Ikhwan Muhammad


Fenomena jutaan kepah dan kerang terdampar di Pantai Mempisang, Tanjung Gemok, Rompin, Pahang dan lala buluh di Pantai Sungai Mengkuang, Endau, Johor dalam tempoh tiga bulan dianggap sebagai rezeki terpijak oleh penduduk.

Bagaimanapun, ramai juga bimbang kerana mengaitkan kejadian itu sebagai petanda tsunami bakal melanda.

Disember lalu, penduduk Kampung Mempisang dikejutkan dengan penemuan jutaan kepah yang naik secara tiba-tiba ke pantai.

Seminggu kemudian, lala buluh pula muncul di Pantai Sungai Mengkuang, Endau, diikuti kerang pada 9 Februari lalu juga di Pantai Mempisang menjadikan kawasan itu bertukar seakan-akan pesta.

Berikutan fenomena itu, ratusan penduduk membanjiri pantai berkenaan untuk mengutip tiga hidupan laut bercengkerang itu yang tergolong dalam kategori bivalvia (mempunyai dua cangkerang) yang biasanya hidup di kawasan berlumpur atau dasar laut.

Seorang penduduk Rozita Abdul Rahman, 39, berkata, meskipun terpengaruh dengan dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan kejadian itu dengan kemungkinan berlaku ombak besar atau tsunami, dia tidak melepaskan peluang mengutip kerang bersama anak-anaknya.

“Saya bersama anak-anak mengutip kerang yang terdampar di tepi pantai. Kami tidak mengutip di gigi air kerana ketika itu ombak besar.

“Sebelum ini pantai ini dipenuhi kepah yang terdampar selama beberapa hari, sekali gus memberi peluang kepada penduduk mengutipnya sama ada dijadikan lauk atau dijual kepada peraih,” katanya yang datang dari Kampung Teriang Kecil, Endau.

Norsaidah Ibrahim, 46, juga tidak melepaskan peluang mengutip kerang dan kepah.

Dia berjaya mengutip tidak kurang 15 kilogram kerang setiap kali ke pantai.

“Saya difahamkan kerang ini selamat dimakan kerana fenomena ini bukan disebabkan pencemaran laut, sebaliknya akibat faktor semula jadi yang berkaitan dengan tengkujuh,” katanya.

Faezah Abd Rahman, 50, berkata, Disember lalu dia sanggup datang dari Kluang semata-mata mahu melihat sendiri fenomena itu dan pada masa sama mengambil peluang membawa anak-anak mengutip kepah yang membanjiri pantai berkenaan.

“Kami sekeluarga sanggup datang dari jauh kerana teruja melihat sendiri fenomena ini. Pada hari pertama, hampir keseluruhan kawasan pantai memutih dilitupi kepah yang terdampar selepas air surut.

“Ramai orang ke pantai membawa guni dan bakul untuk membawa pulang seberapa banyak kepah yang mereka mahu,” katanya.

Komen pakar

Ketua Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Mohd Salleh Kamarudin berkata, kejadian lala buluh, kerang dan kepah naik ke darat bukan fenomena luar biasa kerana ia dikaitkan dengan pergerakan arus dan ombak.

Katanya, fenomena itu dikenali sebagai ‘wash up’ dan penghanyutan hidupan laut biasanya berlaku akibat arus deras menyebabkan hidupan seperti kepah dan kerang terdampar di pantai.

“Punca fenomena itu mungkin disebabkan arus kuat kerana hidupan laut bercengkerang yang naik ke darat masih hidup,” katanya.

Pengarah Perikanan Pahang Adnan Hussain berkata, fenomena itu perkara biasa akibat pergerakan arus di dasar laut yang menyebabkan hidupan bercengkerang seperti siput, kepah dan kerang dihanyutkan ke darat.

“Pergerakan hidupan laut itu dipercayai dipengaruhi arus di dasar laut berpunca daripada tiupan angin kencang yang menyebabkan ombak besar melanda di kawasan pantai timur ketika itu.

“Ia fenomena biasa dan kepah itu selamat dimakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 11:23 AM