(Dari kiri) Rizki Fatullah Rohazmi , 10 (kiri) , Nur Aleeya Natasha Amir Hamzah, 10 (dua kiri), Rania Nur Fatrisya Atiqah Rohazmi , 9 (dua kanan) dan Muhammad Adam Haris Usman, 11 (kanan) menunjukkan kerang yang berjaya dikutip  di pantai Kampung Rhu Dua. FOTO Rozainah Zakaria
(Dari kiri) Rizki Fatullah Rohazmi , 10 (kiri) , Nur Aleeya Natasha Amir Hamzah, 10 (dua kiri), Rania Nur Fatrisya Atiqah Rohazmi , 9 (dua kanan) dan Muhammad Adam Haris Usman, 11 (kanan) menunjukkan kerang yang berjaya dikutip di pantai Kampung Rhu Dua. FOTO Rozainah Zakaria
Hanneeyzah Bariah Baharin


FENOMENA ribuan kerang bulu terdampar di Pantai Rhu Dua, Rusila, Marang, bukan petanda negeri ini bakal dilanda tsunami atau banjir besar.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Mazlan Abd Ghaffar sebaliknya, berkata ia adalah kejadian biasa pada musim tengkujuh, terutama selepas berlaku hujan lebat berterusan.

Beliau berkata, lazimnya pada musim tengkujuh, hujan lebat dan aliran air sungai yang laju akan menghakis sedimen menyebabkan kerang bulu atau nama saintifiknya, ‘Anadara Spilula’ dihanyut arus.

“Kehadiran musim tengkujuh menyebabkan kerang ini yang hidup di bawah sedimen iaitu pasir atau lumpur di kawasan muara terdedah kepada arus kuat.

“Disebabkan itu, ia lebih mudah dihanyut arus dan terdampar di pantai apabila ditolak ombak besar seperti yang berlaku di pantai di Marang itu,” katanya.

Beliau mengulas mengenai kejadian ribuan kerang bulu terdampar di pantai di Marang, sejak empat hari lalu, menyebabkan penduduk dan pengunjung mengaitkannya dengan petanda kejadian buruk bakal berlaku termasuk banjir besar dan tsunami.

Mengulas lanjut beliau berkata, berbeza dengan lokasi pantai lain yang turut berlaku ombak besar, tetapi tiada kejadian seumpamanya, ia adalah kerana keadaan sungai di sekitar Marang lebih berlumpur menjadikannya sebagai kawasan sesuai untuk habitat kerang.

“Berbanding muara sungai di daerah lain seperti Sungai Terengganu, ia lebih kepada sedimen pasir dan kurang sesuai sebagai habitat kerang.

“Sebelum ini juga sudah ada berlaku fenomena hidupan laut lain seperti teritip atau tiram terdampar di pantai di Marang dan kehadiran kerang bulu ini bukan luar biasa, cuma mungkin ia jarang berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 10:42 AM