Sydney: Pakar penerbangan menjelaskan, walaupun ribut tropika menyebabkan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 terhenti secara tiba-tiba, ia tidak semestinya boleh menyebabkan pesawat itu terhempas.

Menara kawalan udara semalam terputus hubungan dengan pesawat terbabit selepas juruterbangnya meminta kebenaran untuk menukar laluan bagi mengelakkan cuaca buruk ketika dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura.

Naib Presiden Persatuan Pengurusan Keselamatan Penerbangan Antarabangsa Asia Pasifik, Desmond Ross berkata, walaupun terdapat perubahan tiba-tiba yang menyebabkan pesawat hampir terhenti, juruterbang biasanya mempunyai masa untuk memulihkan keadaan.

"Ia tidak sepatutnya menyebabkan terhempas. Biarpun enjin pesawat itu terhenti secara tiba-tiba di ketinggian 11,582 meter, terdapat teknik untuk memulihkannya.

"Ada banyak ruang udara untuk turun sebelum merempuh air atau tanah ketika ia mempunyai masa untuk pulih dari keadaan itu," katanya.

Menurut Ross, cuaca buruk bukanlah satu-satunya faktor yang boleh menyebabkan sesebuah pesawat hilang.

"Saya tidak rasa kita patut membuat andaian serta merta bahawa kejadian ini disebabkan oleh cuaca buruk. Realitinya, juruterbang itu tidak sepatutnya berada dalam cuaca buruk seperti itu.

"Kita membuat spekulasi, ia tidak dipersoalkan, tetapi pesawat itu dilengkapi dengan radar cuaca dan ia boleh melihat jauh ke hadapan mendahului pesawat dan ia dapat melihat di mana sel ribut berada," katanya.

Ross berkata, juruterbang terbabit boleh menerbangkan pesawat mengelilingi sel ribut itu atau berpatah balik dan mendarat semula di tempatnya berlepas.

"Kapten pesawat itu bertanggungjawab ke atas keselamatan pesawat itu dalam keadaan terbabit. Pada ketika ini, kita tidak tahu apa yang berlaku.

"Sekiranya ia berkaitan dengan cuaca, banyak lagi perkara selain itu daripada hanya faktor cuaca. Anda perlu tanya mengapa juruterbang berkenaan berada dalam cuaca itu," katanya. - abc.net

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 3:28 PM