RAKAMAN kamera keselamatan menunjukkan bebola api yang menjulang tinggi sejurus pesawat Flydubai terhempas di lapangan terbang Rostov-on-Don.
RAKAMAN kamera keselamatan menunjukkan bebola api yang menjulang tinggi sejurus pesawat Flydubai terhempas di lapangan terbang Rostov-on-Don.
PASUKAN penyelamat memeriksa serpihan pesawat yang berterabur di sepanjang landasan.
PASUKAN penyelamat memeriksa serpihan pesawat yang berterabur di sepanjang landasan.
Agensi

Rostov-on-Don, Russia: Sebuah pesawat milik syarikat tambang murah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Flydubai terhempas ketika cuba mendarat di lapangan terbang di Rostov-on-Don semalam menyebabkan semua 62 penumpang dan anak kapal terbunuh.

Pesawat Boeing 737-800 dari Dubai menuju ke bandar selatan Russia itu terhempas apabila cuba mendarat buat kali kedua ketika cuaca buruk pada jam 6.55 pagi (waktu tempatan).

Pesawat malang berkenaan dilaporkan menjunam dan meletup di landasan.

Pasukan penyiasat Russia mengesahkan semua 55 penumpang dan tujuh anak kapal penerbangan FZ981 itu terbunuh.

Pesawat itu membawa 44 warga Russia, lapan warga Ukraine, dua India dan seorang Uzbekistan.

Semua mangsa membabitkan 33 wanita, 18 lelaki dan empat kanak-kanak.

Pihak berkuasa Russia percaya nahas itu mungkin berpunca sama ada masalah teknikal, kesilapan juruterbang atau cuaca buruk.

Pasukan penyiasat juga menolak spekulasi serangan pengganas sebagai punca kemalangan berkenaan.

Kemalangan berlaku ketika hujan lebat dan ramalan cuaca melaporkan angin bertiup selaju 50 kilometer sejam.

Pesawat malang berkenaan dilaporkan terlepas landasan ketika cuba mendarat buat kali pertama sebelum terhempas dalam cubaan kedua.

Menurut Flightradar24, pesawat itu berpusing selama dua jam sebelum membuat pendaratan kedua.

Rakaman kamera keselamatan di lapangan terbang menunjukkan pesawat itu tiba-tiba menjunam ketika mahu mendarat.

Beberapa pakar penerbangan Russia berkata, keadaan pesawat itu menjunam menunjukkan kemalangan mungkin berpunca daripada angin kencang yang bertiup secara tiba-tiba.

“Ia langsung tidak dapat dikawal,” kata seorang juruterbang veteran Russia, Sergei Kruglikov kepada sebuah stesen televisyen negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 5:04 AM