GAMBAR fail, pesawat ATR-72 milik syarikat Penerbangan Aseman yang dirakam di lapangan terbang Dubai pada 2008. - AFP
GAMBAR fail, pesawat ATR-72 milik syarikat Penerbangan Aseman yang dirakam di lapangan terbang Dubai pada 2008. - AFP

Teheran: Semua 66 penumpang sebuah pesawat penerbangan Iran dikhuatiri terbunuh selepas kapal terbang itu terhempas di kawasan pergunungan Zagros semalam dengan pasukan penyelamat masih berusaha mengesan bangkai pesawat akibat cuaca buruk.

Ketua Perhubungan Awam syarikat penerbangan Aseman, Mohammad Tabatabai berkata, pesawat penerbangan EP3704 hilang dari radar 45 minit selepas berlepas dari lapangan terbang Mehrabad di Teheran.

Pesawat dua enjin jenis ATR-72 yang sudah berkhidmat selama 25 tahun itu berlepas dari Teheran pada jam 8 pagi (waktu tempatan) menuju ke bandar Yasuj yang terletak 500 kilometer ke selatan.

Ada beberapa percanggahan laporan mengenai lokasi dan jumlah kematian dengan ada laporan mengesahkan semua penumpang maut.

Bagaimanapun, Tabatabai memberitahu, pasukan penyelamat masih belum tiba di lokasi nahas.

“Kami masih belum tiba di lokasi pesawat itu terhempas dan atas sebab itu kami tidak boleh mengesahkan jumlah kematian lagi,” katanya kepada agensi berita ISNA.

Ujarnya, pesawat itu membawa 60 penumpang termasuk seorang kanak-kanak dan enam kru.

Ketua pasukan penyelamat serantau, Jalal Pooranfar memberitahu, pasukan sudah dihantar ke lokasi pesawat itu dipercayai terhempas.

“Bagaimanapun, helikopter tidak dapat meneruskan usaha mencari kerana cuaca buruk termasuk ribut salji,” jelasnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 9:11 AM