Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) meminta pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mempersiapkan diri menghadapi Revolusi Industri 4.0 yang menggabungkan aspek pendigitalan dan teknologi untuk terus kekal bersaing.

Presiden MICCI Datuk Jalilah Baba berkata, PKS yang dapat menyesuaikan diri dengan aspek teknologi dan pendigitalan akan lebih kekal berdaya saing kerana dunia perniagaan sekarang banyak persaingan terutama daripada peringkat global.

Menurutnya, memandangkan perusahaan asing lebih terdedah dengan teknologi, PKS tempatan perlu sentiasa peka dengan revolusi industri terkini supaya mereka tidak terus ketinggalan kerana tidak mampu bersaing.

“Tidak hanya PKS, malah syarikat tempatan lain juga perlu bersedia apabila mendengar berita perubahan revolusi industri ini dan PKS harus mempunyai keupayaan minda berubah yang boleh mengikut trend utama perniagaan di seluruh dunia.

“Bagaimanapun, cabaran utama PKS sekarang dari segi mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih besar kerana kebanyakan yang datang kepada kami bertanyakan cara atau bantuan yang boleh membantu mereka untuk mengembangkan lagi perniagaan,” katanya.

Beliau ditemui media sempena Persidangan dan Dialog MICCI dengan Hernancres Sdn Bhd di sini, kelmarin.

Persidangan itu khusus bagi membincangkan mengenai kedatangan Revolusi Industri 4.0 di negara ini.

Jalilah berkata, PKS tempatan yang lebih besar selalunya sudah bersedia dengan fasa globalisasi dan arus teknologi terkini namun bagi perusahaan mikro, kebanyakannya belum bersedia dengan revolusi industri berkenaan.

“Pemikiran sesetengah pihak mengenai teknologi juga tidak selari kerana masih ada yang beranggapan teknologi hanya membabitkan makmal, enjin dan yang berbentuk fizikal.

“Malah, industri dalam talian juga menjadi antara teknologi yang berkembang pantas pada masa ini dan perlu diberi penekanan,” katanya.

Revolusi Industri 4.0 ialah gabungan pendigitalan dan teknologi yang membawa kepada pertumbuhan syarikat teknologi kewangan, penganalisis data besar dan e-dagang serta integrasi serantau dan pembukaan pasaran.

Revolusi industri itu dijangka mempunyai potensi sepenuhnya untuk membuka peluang pasaran baru bagi dunia perniagaan bukan saja di Malaysia, malah seluruh dunia dengan akses tanpa sempadan.

Mengenai prospek pelaburan Malaysia, Jalilah berkata, MICCI berpandangan prospek pelaburan Malaysia kekal cerah meskipun pertumbuhan ekonomi dunia tidak memberangsangkan.

Beliau berkata, pelaburan di Malaysia masih menggalakkan berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh.

“Malaysia masih menarik, menurut Laporan Kompetitif (Global). Kita masih dalam kalangan negara pilihan utama pelabur luar di ASEAN kerana mesra pelabur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 8:31 AM