MED turut lancar 28 program beri tumpuan kepada inovasi dan penerapan teknologi dengan kewangan  RM148 juta kepada PKS.
MED turut lancar 28 program beri tumpuan kepada inovasi dan penerapan teknologi dengan kewangan RM148 juta kepada PKS.
Oleh Mohd Zaky Zainuddin


Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) sudah melaksanakan 164 program pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tahun ini membabitkan komitmen kewangan RM13.7 bilion.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, ia termasuk 28 program yang memberi tumpuan kepada inovasi dan penerapan teknologi dengan kewangan sebanyak RM148 juta.

Katanya, pelaksanaan program berkenaan adalah untuk memastikan PKS di Malaysia bersedia menghadapi perubahan teknologi, seterusnya mampu berdaya saing dengan syarikat lebih besar.

“MED menggalakkan penyertaan PKS dalam industri berteknologi tinggi yang mana memberi sumbangan lebih kepada ekonomi. Kami akan tumpukan kepada bidang yang berimpak tinggi untuk meningkatkan sumbangan PKS kepada ekonomi negara.

“Untuk itu juga, SME Corporation Malaysia (SME Corp) akan menumpukan kepada aktiviti seumpama ini tahun depan termasuk e-dagang,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama Persidangan Keusahawanan Persatuan Pengilang Malaysia (FMM) 2019 di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai dan Pengerusi SME Corp, Datuk Sri Syed Hussien Al Habshee.

Mohd Hatta berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan untuk pelbagai inisiatif bagi menyokong Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan pendigitalan membabitkan nilai RM70 juta menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Katanya, ia merangkumi pembukaan 14 pusat sehenti peningkatan digital bagi memudahkan akses kepada pembiayaan dan pembangunan kapasiti perniagaan terutama PKS.

“Kami juga menyediakan RM550 juta geran padanan automasi pintar kepada 1,000 syarikat pengilangan dan 1,000 syarikat perkhidmatan untuk mengautomasikan proses perniagaan masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 9:07 AM