MOHAMED Azmin
MOHAMED Azmin

KEUTAMAAN akan diberikan kepada pembangunan pendigitalan dalam Pelan Tindakan Sektor Perkhidmatan Baharu 2021-2025 untuk melengkapkan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela), kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, semua program baharu mengenai pendigitalan di bawah pelan tindakan itu akan menyokong dan melengkapkan semua inisiatif Jendela sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan kesejahteraan rakyat.

Katanya, kerajaan merangka inisiatif Jendela untuk meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan serta menetapkan asas untuk 5G.

"Ini akan dicapai melalui pendekatan secara berperingkat bermula dengan inisiatif jangka pendek, memaksimumkan sumber dan infrastruktur yang sedia ada untuk memastikan rakyat mendapat sambungan jalur lebar yang maksimum.

"Seterusnya, infrastruktur teknologi tinggi yang diperlukan akan disediakan untuk mempercepatkan peralihan kita kepada teknologi tanpa wayar 5G," katanya dalam ucapan pada Leadership and Digital Summit 2020: Go B.I.G with Digital di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, sebagai penyokong kadar penggunaan teknologi dan transformasi digital yang lebih tinggi dan cepat, pelaksanaan Jendela tepat pada masanya dan akan menjadi pemangkin utama untuk mendorong negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi.

Beliau berkata, kerajaan memberi tumpuan kepada meningkatkan pelaburan langsung asing, menggalakkan produktiviti dan mengembalikan semula keyakinan pengguna.

Memberi keutamaan kepada bidang penting seperti meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, meningkatkan penggunaan teknologi dan pendigitalan dalam sektor awam dan swasta serta memastikan pasaran tenaga kerja yang stabil perlu untuk aliran pelaburan dengan nilai tambah tinggi berterusan ke negara ini.

"Memandangkan kepimpinan terus menjadi elemen penting dalam mana-mana organisasi, menyediakan pasukan untuk melaksanakan revolusi digital melalui inovasi teknologi hanya dapat dijalankan dengan jayanya melalui kepemimpinan digital yang baik.

"Sehubungan itu, MITI akan terus memberikan dorongan dan kepimpinan untuk mengukuhkan industri, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan menyokong mereka untuk memacu produktiviti dan memastikan kemampanan," katanya.

Beliau berkata belanjawan pengembangan kerajaan untuk 2021 adalah penting, dengan tumpuan jelas kepada pertumbuhan produktiviti melalui penggunaan teknologi digital dan IR4.0.

Antara pendorongnya ialah peruntukan RM1 bilion untuk Transformasi Pendigitalan Industri, peruntukan yang mengambil kira cabaran, keperluan dan kebajikan semua lapisan masyarakat, industri dan perniagaan.

Dana tambahan RM150 juta untuk Skim Geran Pendigitalan PKS dan Geran Automasi Pintar akan memudahkan PKS mikro dan syarikat permulaan memperkasakan perniagaan untuk memacu pertumbuhan sektor penting ini.

"Jelas, pendigitalan akan meningkatkan pertumbuhan produktiviti PKS di Malaysia - untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

"Negara yang sangat produktif perlu segera menyesuaikan dengan perkembangan teknologi dan ini melibatkan kesediaan pemimpin untuk membudayakan cara baharu menghasilkan barangan dan perkhidmatan, membawa kepada cara yang inovatif dalam menjalankan perniagaan," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 7:01 AM