SULAIMAN Mohd Tahir
SULAIMAN Mohd Tahir

AMBANK Group berjaya mengagihkan geran berjumlah RM100 juta yang diselia Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dengan 14 peratus daripada jumlah berkenaan diperoleh peserta AmBank BizRACE.

Peruntukan berkenaan adalah di bawah Geran Automasi Pintar.

Selain itu, melalui kerjasama AmBank dengan Mida dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), peserta AmBank BizRACE turut menerima lebih daripada RM14 juta kelulusan geran.

Bagi musim ketiga program berkenaan, sembilan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dinamakan sebagai syarikat terbaik.

AmBank BizRACE musim kali ini mencipta kelainan tersendiri apabila mempunyai tiga kategori iaitu Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0), Pendigitalan dan Pencarian Halal.

Ketua Pegawai Eksekutif AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, dalam tempoh beberapa tahun ini, AmBank sentiasa memberi sokongan kepada PKS tempatan dengan membantu mereka mendapatkan penyelesaian terbaik bagi perniagaan mereka.

"Tempoh dua tahun ini agak sukar untuk PKS kerana pandemik Covid-19 dan kami berusaha memberikan bantuan terbaik untuk mereka dan bukan sekadar dari aspek pembiayaan.

"Program AmBank BizRACE dilancarkan dengan tujuan utama untuk memberikan peluang jaringan meluas kepada peserta di samping meningkatkan pengetahuan, latihan dan penjenamaan," katanya dalam satu kenyataan.

Sebanyak 2,000 syarikat menyertai pertandingan AmBank BizRACE musim ketiga.

Ia juga kali pertama dianjurkan secara maya sepenuhnya disebabkan keperluan semasa ketika ini.

"Bagi kategori IR 4.0 dan Pendigitalan, peserta menjalani perundingan geran satu sama satu untuk menilai rancangan perniagaan dan cadangan geran mereka sebagai persediaan untuk permohonan.

"Bagi Pencarian Halal pula, ia bertujuan membantu PKS mendapatkan pandangan mengenai pasaran halal dan menuju ke arah mencapai pensijilan halal," katanya.

Bagi kategori Pencarian Halal, ia menarik minat penyertaan daripada pelbagai industri dan sektor seperti kosmetik, makanan dan minuman, farmaseutikal, pembuatan serta logistik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 6:15 AM