Pejuang pemberontak di pinggir bandar al-Bab, utara Syria, semalam. Pertempuran antara tentera kerajaan dengan pemberontak di beberapa kawasan masih berlaku menjelang rundingan damai selepas kejatuhan Aleppo, lambang kemenangan Presiden Bashar. - Foto REUTERS
Pejuang pemberontak di pinggir bandar al-Bab, utara Syria, semalam. Pertempuran antara tentera kerajaan dengan pemberontak di beberapa kawasan masih berlaku menjelang rundingan damai selepas kejatuhan Aleppo, lambang kemenangan Presiden Bashar. - Foto REUTERS
AFP

Teheran: Iran yang menjadi penyokong utama kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad dalam perang menentang pemberontak, mendapat projek membina rangkaian telefon mudah alih di Syria serta terminal memproses minyak yang ditanda tangani hari ini.

Dalam persetujuan yang ditanda tangani ketika kunjungan Perdana Menteri Iran, Imad Khamis, ke Damsyik itu, Syria akan menyerahkan 5,000 hektar tanah untuk membina terminal minyak itu dan 5,000 hektar lagi tanah pertanian.

Menurut agensi berita Iran, IRNA, Iran juga mendapat hak melombong fosfat di Sharqiya, 50 kilometer di utara bandar Palmyra yang masih dikuasai pemberontak serta pelaburan dalam pelabuhan Syria.

Iran bukan saja menyediakan penasihat tentera kepada kerajaan Presiden Bashar dalam perang saudara di Syria, malah turut mengerahkan tentera Hizbollah di Lubnan selain membiayai ‘sukarelawan’ dari negara lain, termasuk Afghanistan sehingga membolehkan tentera Bashar - juga dengan bantuan Russia - menawan kembali Aleppo, bandar raya kedua terbesar Syria, bulan lalu.

Khamis yang tiba dengan delegasi besar ahli perniagaan Iran berkata, kedua-dua negara dalam laluan yang sama.

Sebahagian besar pemberontak yang menentang kerajaan Bashar berfahaman Sunnah yang disokong beberapa negara Arab, termasuk Arab Saudi dan Turki.

Iran akan menyertai rundingan damai Syria bersama Russia dan Turki di Astana, ibu negara Kazakhstan pada 23 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 9:53 PM