ORANG ramai menunjuk perasaan di depan pejabat konsul Iran di Casablanca, Maghribi, membantah kekejaman tentera Syria dan sekutunya di Aleppo, semalam.  - Reuters
ORANG ramai menunjuk perasaan di depan pejabat konsul Iran di Casablanca, Maghribi, membantah kekejaman tentera Syria dan sekutunya di Aleppo, semalam. - Reuters
AFP

Teheran: Presiden Iran, Hassan Rouhani semalam menelefon Presiden Syria, Bashar Al Assad untuk mengucapkan tahniah kepadanya selepas rejim Syria hampir pasti menawan seluruh Aleppo daripada kumpulan penentang.

“Kemenangan di Aleppo melambangkan kejayaan besar rakyat Syria terhadap pengganas dan mereka yang menyokongnya,” kata Hassan kepada Bashar.

Iran menganggap semua kumpulan yang menentang rejim Bashar pengganas.

Pemimpin Syria itu dilapor mengucapkan terima kasih kepada Hassan kerana ‘memihak kepada rakyat dan kerajaannya ketika saat paling sukar.’

“Kami tidak akan melupakannya,” kata Bashar.

Iran tidak mengerah tenteranya ke Syria tetapi anggota separa tentera dari Pengawal Revolusi dipercayai memainkan peranan dalam membantu merancang serangan tentera Syria di Aleppo dan kawasan lain yang dikuasai penentang Bashar.

Dalam pada itu, ribuan sukarelawan Iran yang terdorong untuk melindungi tempat suci Syiah di Syria dipercayai berada di medan pertempuran membantu tentera Bashar.

“Pakatan Iran, Russia, Syria dan Hizbullah (militan Syiah dari Lubnan yang disokong Teheran) membantu pembebasan Aleppo. Kami akan membebaskan Mosul (di Iraq) pula selepas ini,” kata Yahya Salavi, penasihat kanan dasar luar pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Yahya, bekas ketua Pengawal Revolusi juga berkata, mesej yang jelas ditujukan kepada bakal presiden baru Amerika Syarikat, Donald Trump, yang sebelum ini berikrar akan bertindak tegas terhadap Iran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 7:32 AM