LIM  (tengah)  melancarkan pembukaan pasar raya borong NSK di Seremban 2.
LIM (tengah) melancarkan pembukaan pasar raya borong NSK di Seremban 2.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Syarikat pemborong peruncitan, NSK Trade City (NSK) memperluaskan rangkaian perniagaannya dengan membuka pasar raya borong terbaru di Seremban 2 di sini, kelmarin.

Pasar raya borong yang beroperasi di Lot 1814 dan 1816, Jalan Haruan 2, Kawasan Perindustrian Oakland itu antara yang terbesar berbanding rangkaian pasar borong sebelum ini.

Penasihat Kumpulan NSK Datuk Lim Choon Se berkata, pasar raya borong itu adalah yang ke-15 dibuka di negara ini dan pertama di luar kawasan Lembah Klang dan Selangor.

Menurutnya, pihaknya mengeluarkan pelaburan sebanyak RM200 juta bagi membuka pasar terbaru itu dalam usaha mengembangkan lagi rangkaian perniagaannya selain memenuhi keperluan pengguna mendapatkan barangan keperluan harian.

“Kami mengenal pasti Seremban 2 adalah kawasan strategik dan sesuai untuk meluaskan lagi rangkaian perniagaan peruncitan kerana pesat membangun terutama pembukaan taman perumahan baru selain jumlah penduduk yang tinggi.

“Malah, kami dapati ramai dalam kalangan mereka yang bekerja di Kuala Lumpur tetapi menetap di sini, dan kami rasa pembukaan pasar raya borong NSK menepati keperluan mereka.

“Biarpun dalam situasi ekonomi tidak menentu tetapi saya yakin pelaburan dikeluarkan bagi pembukaan pasar raya borong itu akan memberi kesan positif kepada kemajuan dan pencapaian syarikat,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan pembukaan pasar raya borong itu di Jalan Haruan 2 di sini.

Katanya, pihaknya juga yakin pasar raya borong itu dapat memberi banyak pilihan kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan harian pada harga yang kompetetif.

Menurutnya, seperti pusat perniagaan lain, pasar raya borong NSK di Seremban 2 itu menawarkan semua jenis barangan termasuk barang basah, aksesori kediaman dan peralatan elektrik.

Katanya, sempena pembukaan, pihaknya menawarkan lebih 10 produk terpilih berharga RM1 setiap satu.

“Berdasarkan sambutan orang ramai yang hadir membeli-belah, saya yakin pasar raya borong ini akan terus mendapat sambutan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Lim berkata, NSK juga bercadang membuka sebuah lagi pasar raya borong di Johor Bahru pada tahun ini.

“Selepas Seremban 2, rangkaian pasar raya borong selepas ini adalah di Johor Bahru dan Melaka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2017 @ 8:43 AM