CHIEW  (tiga  dari kanan) mengagih  risalah di cawangan baru pasar raya borong NSK di Bandar Mahkota Cheras.
CHIEW (tiga dari kanan) mengagih risalah di cawangan baru pasar raya borong NSK di Bandar Mahkota Cheras.
Sofyan Rizal Ishak

Kajang: NSK Holdings Sdn Bhd membuka cawangan pasar raya borong NSK Trade City (NSK) ke-21 yang terletak di Bandar Mahkota Cheras selepas pembukaan cawangan ke-20 di Jalan Peel, Cheras pada Februari lalu.

Pengarahnya, Datuk Chiew Lian Keng berkata, pembukaan cawangan yang memiliki keluasan kira-kira 40,000 kaki persegi dan terletak dalam BMC Mall itu dijangka memberi kemudahan kepada penduduk di kawasan sekitar untuk mendapatkan barangan pada harga berpatutan.

“Kami optimis pasar raya borong terbaru ini mampu menarik kunjungan orang ramai kerana jenama NSK ini sudah dikenali melalui tawaran produk segar seperti sayur-sayuran, daging dan makanan laut,” katanya kepada media selepas pembukaan cawangan baru NSK di sini, semalam.

Beliau berkata, syarikat menyediakan pelbagai tawaran menarik sempena pembukaan cawangan terbaru itu seperti tawaran seekor ayam segar pada harga RM1 untuk setiap pelanggan untuk 2,000 pelanggan terawal pada 18 Disember 2018 saja.

Menurutnya, orang ramai juga berpeluang untuk mendapatkan satu peket beras NSK lima kilogram pada harga RM1 dengan mendaftarkan diri sebagai pemegang kad keahlian NSK iaitu N-Kad bermula dari 18 hingga 23 Disember ini.

“Selain itu, NSK mengadakan promosi pelbagai barangan setiap hari sepanjang tempoh bermula 18 Disember hingga 25 Disember ini di mana pelanggan berpeluang mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah untuk dua unit barangan bagi setiap pembelian,” katanya.

Chiew berkata, orang ramai yang berada di kawasan berdekatan Bandar Mahkota Cheras itu kini boleh mengunjungi pasar raya borong terbaru NSK yang mula beroperasi pada jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

“Kami percaya waktu operasi ini akan memberi kemudahan bukan saja kepada suri rumah dan peniaga untuk membeli-belah pada awal pagi malah kepada individu yang sibuk bekerja untuk mendapatkan keperluan harian pada waktu malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 9:12 AM