CAWANGAN ketiga NSK Trade City memulakan operasi di daerah Muar.
CAWANGAN ketiga NSK Trade City memulakan operasi di daerah Muar.
Oleh Ahmad Ismail


NSK Trading Sdn Bhd, pemilik rangkaian pasar raya NSK Trade City membuka cawangan ketiganya di Johor selepas pembukaan cawangan pertama dan kedua di Pandan dan Ulu Tiram pada Januari serta Mac lalu.

Pengarahnya, Kenny Chen berkata, pasar raya yang terletak di atas tapak seluas empat hektar di Tanjung Agas itu mudah dikunjungi orang ramai terutama dengan menggunakan Jalan Kesang berhampiran Jambatan Sultan Ismail.

“Kami menyediakan 6,000 pelbagai barangan kering dan basah selain keperluan seisi keluarga dengan harga mampu milik dan berpatutan,” katanya selepas Hari Pembukaan NSK Trade City di sini.

Menurutnya, syarikat sedar orang ramai terkesan dengan kenaikan pelbagai harga barangan sejak beberapa tahun lalu dan mengambil keputusan menjual pelbagai barangan dengan harga borong untuk memberikan penjimatan kepada pelanggan.

“Kami sentiasa memastikan semua barang yang dipamerkan berkualiti tinggi dan segar bagi menjamin kepuasan pelanggan dan menjadikan setiap pembelian berbaloi dengan wang dibayar,” katanya.

Beliau berkata, pasar raya itu beroperasi setiap hari mulai jam 8 pagi hingga jam 12 tengah malam bagi memudahkan pengunjung terutama suri rumah atau mereka yang pulang bekerja.

“Untuk memudahkan pelanggan, kami menyediakan surau dan parkir terbuka serta bawah bangunan yang boleh menempatkan 500 kenderaan pada satu masa dan 250 kakitangan terlatih untuk membantu semua pelanggan mendapatkan pelbagai barangan dicari.

“Sempena hari pembukaan hari ini, kami menawarkan ayam segar pada harga serendah RM1 seekor kepada 2,000 pelanggan awal sebagai ganjaran buat mereka,” katanya.

Kenny berkata, NSK Trade City mempunyai 26 cawangan di seluruh negara sejak lebih 30 tahun lalu bermula di Chow Kit, Kuala Lumpur.

“Pertambahan cawangan kami membuktikan orang ramai percaya dan memberi kepercayaan kepada kami dalam menyediakan pelbagai keperluan harian mereka. Kami sangat menghargai sokongan mereka selama ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 10:03 AM