Orang awam membeli barang keperluan ketika hari pertama pembukaan NSK Trade City di USJ One City, USJ 21. FOTO AZIAH AZMEE
Orang awam membeli barang keperluan ketika hari pertama pembukaan NSK Trade City di USJ One City, USJ 21. FOTO AZIAH AZMEE
Noor Hidayah Tanzizi


Subang Jaya: NSK Trading Sdn Bhd, pemilik rangkaian pasar raya NSK Trade City membuka cawangan ke-18 di Lembah Klang.

Pengarahnya, Kenny Chen berkata, pasar raya terbaru itu terletak di One City , USJ 25, di sini, berkeluasan kira-kira 170,000 kaki persegi dengan 2,639 parkir kereta dan 1,185 tempat letak motosikal.

Menurutnya, pihaknya menyediakan lebih 5,000 pelbagai barangan kering dan basah di samping keperluan keluarga dengan harga berpatutan.

"NSK One City menawarkan pelbagai barangan runcit, isi rumah, ayam dan produk segar seperti sayuran, buahan. Selain itu, makanan laut seperti ikan, udang dan ketam pada harga berpatutan untuk memberikan penjimatan lebih baik kepada pelanggan.

"Sempena pembukaan, NSK One City akan menjalankan promosi dari 1 Januari hingga 8 Januari, dan pasar raya ini beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 11 malam.

Kita mempunyai kira-kira 200 pekerja yang bersedia membantu pelanggan," katanya pada hari pembukaan rasmi pasar raya itu, di sini, hari ini.

Chen berkata, pembukaan cawangan baharu itu juga dilihat sebagai maklum balas positif daripada orang ramai yang memberi kepercayaan kepada pihaknya dalam menyediakan pelbagai barangan keperluan pada harga berpatutan.

Justeru katanya, visi mereka adalah terus memastikan kualiti setiap barangan dan keperluan sentiasa berada di tahap terbaik bagi menjamin kepuasan pelanggan.

"Sempena pembukaan pasar raya ini kami menawarkan ayam segar pada harga RM1 seekor dengan mengedarkan 1,000 kupon kepada pelanggan terawal. Kupon itu selesai diagihkan dalam masa 30 minit selepas premis dibuka pada 8 pagi.

"Tawaran ayam RM1 juga sekali gus dapat membantu orang ramai dalam situasi kenaikan harga barang ketika ini, dan setiap keluarga hanya diberikan satu kupon saja.

"Selain itu, turut ditawarkan, durian Musang King RM20.23 sekilogram sebagai simbolik tahun 2023 dan sempena pembukaan pasar raya serta ia untuk hari ini saja," katanya.

Dalam pada itu, Chen berkata, secara keseluruhan, NSK Trading mempunyai 27 cawangan seluruh negara iaitu 25 cawangan NSK Trading dan dua cawangan NSK Grocer.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 2:19 PM