Ahmad Bashah (tiga dari kanan) bersama pemain Kedah. FOTO HM/AMRAN HAMID
Ahmad Bashah (tiga dari kanan) bersama pemain Kedah. FOTO HM/AMRAN HAMID
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Skuad Kedah sasar kejuaraan 'treble' dengan membawa pulang tiga piala utama ke negeri itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Hasrat itu disuarakan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang mahu mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia selain ingin muncul juara Liga Super dan Piala FA.

Ahmad Bashah berkata, senarai pemain baru diumumkan hari ini termasuk dua pemain import baru dengan KFA mensasarkan tiga piala itu berjaya dirangkul Helang Merah.

Menurutnya, istilah tewas perlu dibuang dalam fikiran pemain sebaliknya memikirkan kemenangan dalam perlawanan.

"Saya berharap pemain bermain dengan bersungguh-sungguh dan bermatian-matian untuk memenangi piala dipertandingkan.

"Dengan semangat yang ada tahun ini kita akan cuba meraih kemenangan semua piala terbabit," katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas majlis memperkenalkan Penaja dan Pemain Bola Sepak Kedah 2017 di Kelab Golf Darulaman, di sini, petang tadi.

Pada majlis itu, Rizal Ghazali yang dikaitkan dengan Felda United disenaraikan dalam skuad Kedah menamatkan spekulasi sebelum ini.

Dua pemain import baru diperkenalkan KFA adalah Ken Ilso Larsen dari Denmark yang memikul tugasan selaku penggempur utama manakala Zachary Michael Anderson dari Australia menggantikan pemain pertahanan dari Korea Selatan, Bang Seung Hwan.

Pemain import sedia ada Liridon Krasniqi dari Kosovo dan Sandro Da Silva dari Brazil kekal bersama Lang Merah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 8:35 PM