Kamaruzaman (kiri) dan Noorasyikin  ketika di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto  KHAIRULL AZRY BIDIN
Kamaruzaman (kiri) dan Noorasyikin ketika di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto KHAIRULL AZRY BIDIN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dua rakan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, bagi pertuduhan cuba menerima rasuah wang tunai berjumlah RM100,000 daripada seorang pemilik butik bagi menyelesaikan kes jenayah membabitkan suaminya, tahun lalu.

Noorasyikin A Latiff, 39, pengurus besar syarikat sekuriti dan Kamaruzaman Jusoh, 43, juruteknik, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, Noorasyikin dan Kamaruzaman didakwa bersama-sama cuba untuk menerima suatu suapan wang tunai RM100,000 daripada Nur Aisyah Roling, melalui Mohd Rozaini Radzi sebagai dorongan untuk tertuduh menolong menyelesaikan kes suami Nur Aisyah iaitu Datuk Baharuddin Hamzah, seorang ahli perniagaan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di pekarangan Victoria Station, Jalan Ampang, di sini, pada 3.30 petang, 15 Disember 2016.

Kamaruzaman turut mengaku tidak bersalah bagi satu lagi pertuduhan iaitu melalui panggilan telefon telah secara rasuah meminta suapan wang tunai RM100,000 daripada mangsa sama, dengan memperkenalkan diri sebagai Rizalma dari Pejabat Kementerian Dalam Negeri bagi tujuan sama di Pasaraya AEON Big Wangsa Maju, pada 1.30 petang, 14 Disember 2016.

Noorasyikin juga mengaku tidak bersalah meminta daripada mangsa sama suatu suapan wang tunai RM100,000 sebagai dorongan untuk tujuan sama pada 2 petang, di pekarangan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya, 30 November lalu.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 7:44 PM