Mohd Amin Jalil


Seremban: Seorang pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah RM100,000 kepada penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, tahun lalu.

Tertuduh, Wong Yeng Fart, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas jurubahasa mahkamah membacakan kertas pertuduhan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh secara rasuah memberi wang tunai RM100,000 kepada dua individu iaitu seorang penolong pegawai penguat kuasa dan seorang pegawai penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan yang bertugas di Unit Kawalan Bekalan, Seksyen Penguat kuasa sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap semua pemilik Syarikat Viss Motor Parts Sdn Bhd yang melakukan kesalahan mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

Perbuatan itu dilakukan pada 4 Februari tahun lalu di sebuah restoran di Seremban 2, di sini.

WONG Yeng Fart dihadapan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan memberi rasuah RM100,000 kepada penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) Negeri Sembilan tahun lalu. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
WONG Yeng Fart dihadapan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan memberi rasuah RM100,000 kepada penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) Negeri Sembilan tahun lalu. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Surita menetapkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di Pejabat SPRM Negeri Sembilan setiap bulan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa SPRM, Azriff Firdaus Mohamad Ali.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes 23 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 2:54 PM