TERTUDUH ketika hadir di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang semalam. FOTO Danial Saad.
TERTUDUH ketika hadir di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang semalam. FOTO Danial Saad.
M Hifzuddin Ikhsan


PEGUAM Kanan Persekutuan didakwa di Mahkamah Sesyen di Alor Setar, hari ini, atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM100,000 bagi mempengaruhi pendakwaan seorang ahli perniagaan pada Mei lalu.

Tertuduh, Lim Cheah Yit, 42, yang bertugas di pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang pegawai awam bersetuju bagi dirinya menerima suapan wang tunai RM100,000 daripada Goh Kim Heong sebagai dorongan mempengaruhi Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang menuduh Chan Eng Leong di mahkamah atas kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, pada jam 12.43 tengah hari, 18 Mei lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Mukhzany Faiz Mohd Mokhtar dan Fairos Danial Mazlan, manakala tertuduh diwakili peguam, Ang Chun Pun.

Mohd Mukhzany kemudian meminta mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 ke atas tertuduh, namun Murtazadi membenarkan Cheah Yit dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut diarah melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan mahkamah menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta penyerahan dokumen.

Semalam, Cheah Yit didakwa atas dua pertuduhan meminta sendiri suapan wang tunai berjumlah RM500,000 dan menerima RM100,000 daripada Kim Heong sebagai dorongan mempengaruhi Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang menuduh Eng Leong di mahkamah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pusat karaoke di Gurney Paragon pada 8 Mac dan di AC Hotel Penang, Jalan Bukit Jambul pada 1 Jun lalu.

Berita berkaitan:

  • Peguam Kanan Persekutuan nafi rasuah
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 12:17 PM