TIDAK salahkan mana-mana pihak dalam perselisihan dengan pengurusan Hyper Act.
TIDAK salahkan mana-mana pihak dalam perselisihan dengan pengurusan Hyper Act.
Syafil Syazwan Jefri


Mungkin satu kejutan bagi peminat setia band Hyper Act apabila Ahad lalu, vokalisnya, Kecik memuat naik status dan gambar dengan kapsyen memaklumkan dia tidak lagi bersama band itu.

Mengakui berlaku sedikit perselisihan faham antara dia dan pengurusan Hyper Act, Kecik atau nama sebenarnya Mohammad Fauzi Kamarudin mengakui sentiasa menyimpan harapan hubungan mereka boleh diselamatkan.

“Hyper Act bukan sekadar band yang saya anggotai tetapi bagi saya adalah keluarga kedua. Banyak perkara yang saya belajar daripada Hyper Act.

“Apa yang berlaku adalah salah faham dan saya sentiasa berharap semuanya dapat diselesaikan dengan baik, sekali gus menyelamatkan keadaan,” kata Kecik.

Menurut penyanyi berusia 22 tahun itu lagi, dia sendiri tidak pernah menyalahkn mana-mana pihak di atas apa yang berlaku.

“Saya tak salahkan sesiapa, kerana mungkin ada kesilapan di pihak saya juga yang membuatkan keadaan menjadi celaru dan ada pihak yang tidak senang.

“Saya mohon maaf kepada Hyper Act, namun mereka sendiri tidak mahu dan menganggap semua perkara yang saya lakukan adalah salah,” katanya.

Diminta mengulas mengenai apa sebenarnya yang berlaku, Kecik memaklumkan ia semuanya bermula apabila ada salah faham antara dirinya dengan orang kuat yang bersama Hyper Act sejak awal dikenali sebagai Frozen.

“Ada berlaku sedikit salah faham antara saya dan Frozen. Mungkin salah saya juga kerana terlalu emosi dalam perbualan WhatsApp berkumpulan itu.

“Sejak itu, bermula September lalu, dia ‘mengharamkan’ saya menjejakkan kaki di studio dan menggunakan semua alatan di studio. Memang agak sukar untuk saya melakukan latihan bersama anggota Hyper Act yang lain,” kara Kecik.

Kata Kecik, sejak itu, dia sering menjadi sasaran untuk dipersalahkan setiap kali berlaku masalah.

“Antara yang paling saya ingat adalah selepas kami selesai membuat persembahan di separuh akhir Muzik Muzik baru-baru ini.

“Mereka menyalahkan saya dengan mengatakan saya punca berlaku kekurangan dalam persembahan. Padahal, saya hanya sempat melakukan latihan dalam tempoh singkat memandangkan saya tak dibenarkan masuk ke studio,” katanya.

Katanya, dalam tempoh tiga bulan bermula September itu, dia terpaksa berlatih secara bersendirian.

Selepas apa yang berlaku, Kecik mengakui belum ada apa-apa perancangan untuk karier seninya. Namun begitu, dia tidak akan bergerak secara solo.

“Saya bermula dengan Hyper Act dan saya sa­ngat selesa bergerak secara berkumpulan berbanding secara solo. Jadi, kalau ada pun rezeki saya selepas ini, mungkin saya akan bersama band lain,” katanya.

Kecik juga mengharapkan agar peminat tidak berhenti memberikan sokongan padu kepada Hyper Act walaupun tanpa kewujudannya sebagai vokalis.

“Saya minta sangat-sangat agar peminat jangan mengecam anggota Hyper Act kerana mereka tak bersalah dalam hal ini.

“Kepada Hyper Act juga, saya doakan agar terus maju ke depan. Saya kenal semua kawan dalam Hyper Act dan tak pernah ada sebarang masalah dengan mereka,” kata Kecik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 5:02 AM