HYPER Act kekal dengan imej tersendiri.
HYPER Act kekal dengan imej tersendiri.
KECIK (kanan) gembira bersama Hyper Act.
KECIK (kanan) gembira bersama Hyper Act.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Ramai peminat menganggap kumpulan Hyper Act akan tenggelam apabila membuat keputusan menyingkirkan Ronnie sebagai penyanyi utama mereka.

Perkara itu disangkal anggota kumpulan itu yang terdiri daripada Toi (bass), Beby (gitar utama), Etan (gitar kedua), Akir (keyboard) dan Labib (dram) dan mengakui Hyper Act masih utuh.

Malah, kumpulan berasal dari Johor ini juga sudah menemui pengganti yang tidak kurang hebatnya iaitu Mohamad Fauzi Kamarudin atau dikenali sebagai Kecik.

Penyanyi berusia 21 tahun berasal dari Jitra, Kedah itu dikatakan mempunyai keistimewaan tersendiri dan dipilih menggantikan tempat Ronnie sejak Julai lalu.

Bercakap kepada RAP, Toi berkata, Kecik dinilai menerusi pertandingan yang dibuat menerusi Instagram dan terpilih daripada lima finalis yang disenaraikan.

“Uji bakat dibuat menerusi pertandingan #vokalishyperact. Peserta perlu menyanyikan lagu Harapan dan Hanya Aku. Kami menerima 1,260 penyertaan dan memilih lima yang terbaik untuk penilaian akhir.

“Finalis ini dari Sabah, Sarawak, Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan. Namun, hanya empat yang datang dan akhirnya kami membuat keputusan memilih Kecik.

“Kami kini muncul dengan single terbaru berjudul Takkan Pergi yang menampilkan Kecik dan ternyata ia boleh diterima peminat. Lagu dicipta Hyper Act manakala lirik oleh Frozen.

“Ton muzik yang dipilih pula begitu halus bagi mengekalkan konsep rock balada Hyper Act. Yang penting kami berbangga kerana Hyper Act sudah mencapai tahap yang baik dalam industri muzik,” katanya.

Menurutnya, mereka turut menghasilkan dua muzik video berbeza untuk lagu yang sudah dua minggu diperkenalkan ini dan sekarang ditonton lebih 100,000 peminat di YouTube.

Katanya, satu daripada muzik video itu dihasilkan mereka sendiri manakala satu lagi dikeluarkan syarikat rakaman Rusa Music.

“Tak dinafikan masih ada peminat belum kenal Kecik, tapi mereka boleh menerima dia dengan hati terbuka. Lagu ini juga dirancang dijadikan lagu tema drama untuk slot Akasia Januari nanti,” katanya.

Mengakui Hyper Act tetap kekal dengan imej tersendiri, Toi berkata, mereka tetap bertahan dalam industri muzik dan meneroka setiap peluang yang ada.

“Kami juga cipta lagu untuk artis lain antaranya Asmidar Ahmad, Kristal, Syed Syamim dan banyak lagi. Masing-masing ada pengalaman jadi penerbit seperti Beby yang turut mencipta lagu untuk penyanyi seperti Aina, Sarah Fazny dan Sandra.

“Kami juga turut menjual pelbagai barang Hyper Act dibawah syarikat Hype Beat Sdn Bhd. Selain itu, kami turut buka peluang buat mereka yang berminat menghantar profil kepada kami.

“Mereka boleh berbuat demikian menerusi www.hypebeat.co serta boleh melihat Instagram dan Twitter kami hyperactband serta Facebook officialhyperact,” katanya.

Kecik janjikan yang terbaik

Masih malu-malu, Kecik memberitahu dia pernah menganggotai kumpulan Rocha dan aktif menyertai pertandingan serta mengadakan persembahan secara ‘busking’ di sekitar Kedah.

“Alhamdulillah saya gembira diterima menyertai Hyper Act. Tak dinafikan awalnya saya kekok muncul menyanyi di pentas besar. Namun saya tawakal dan belajar perlahan-lahan menyerap tekanan.

“Saya beruntung kerana anggota kumpulan pun banyak membantu berikan tips berguna. Justeru ini sedikit sebanyak membentuk keyakinan saya untuk memberikan yang terbaik buat Hyper Act,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 8:20 AM