Hyper Act. Foto Saifullizan Tamadi
Hyper Act. Foto Saifullizan Tamadi
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Penyatuan dalam konsert ini membuktikan tiada sengketa antara kami, sebaliknya berlaku perselisihan faham membabitkan bekas syarikat pengurusan Hyper Act."

Demikian kata bekas anggota kumpulan Hyper Act, Toy yang bersetuju untuk bekerjasama dengan Hyper Act disamping dua lagi bekas vokalis kumpulan itu iaitu Ronnie dan Kecik dalam Konsert Reunion Hyperact 15 Years Journey.

Toy ketika ditemui berkata, apa yang berlaku pada tahun 2018 hingga berlaku perpecahan kumpulan itu ianya terlalu peribadi untuk dikongsikan.

"Ketika saya, Ronnie dan Kecik tidak bersama kumpulan itu, kami semua sudah selesa dengan kerjaya solo dan fokus pada kerja.

"Saya dan ahli kumpulan lain memang tiada masalah, kami baik saja. Cuma apa yang berlaku itu terlalu peribadi untuk dikongsikan dan lebih baik fokus dengan kerja yang ada sekarang.

"Saya akui kumpulan ini mempunyai jenama yang cukup kuat. Ramai yang melihat keserasian antara kami, jadi kenapa nak putuskan hubungan itu begitu saja.

"Jadi apabila ada tawaran sebegini, sudah pasti kami berbesar hati. Cuma proses untuk menyatukan semua anggota Hyper Act mengambil masa sedikit panjang," katanya.

Menurut Toy, menerusi konsert itu dia mahu bertemu dengan individu yang menuduhnya sebagai 'gila kuasa' sehingga dikatakan membuang ahli sesuka hati.

"Boleh dikatakan banyak kali saya berfikir mahu kembali dengan kumpulan ini semula. Saya tidak merajuk cuma saya tak nak berurusan lagi.

"Tapi sebelum ini saya sering bantu barisan baharu Hyper Act yang diketuai oleh Firman Bansir selaku vokalis di studio rakaman. Malah kami masih berhubung dengan baik.

"Kami anggap apa yang berlaku selama ini ada hikmah di sebaliknya. Sekarang ini pun Hyper Act bernaung di bawah pengurusan saya iaitu Talent Toi Production," katanya.

Konsert Reunion Hyperact 15 Years Journey dijadualkan berlangsung di KWC Starxpo Kuala Lumpur pada 3 Februari depan.

Ia menampilkan kumpulan Hyper Act yang terdiri daripada Firman Bansir (vokal utama), Toy Nizam (bass dan vokal kedua), Freddy (gitar utama), Etan (gitar kedua) dan Ejam (dram).

Lebih menarik Hyper Act bakal menggabungkan semula bekas-bekas anggota Hyper Act iaitu penyanyi, Ronnie Hussein, Kecik Ogie dan pemain dram, Labib.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 2:33 PM